Sahut Agenda Jihad Perangi Rasuah, Seru Terapkan Politik Berintegriti – Pemuda UMNO Johor

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menegaskan agenda jihad perangi rasuah bukan sahaja sekadar perlu disahut atau disokong malah akan merangka dan merencanakan program susulan untuk bersama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sebarang bentuk kerjasama bagi membolehkan ia terlaksana dan memberi kesan kepada akar umbi.

Selaras itu, ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah menyeru seluruh ahli dan jentera Pemuda seluruh negeri untuk bersama-sama menanam tekad dan niat memerangi dan mencegah rasuah serta menjadi contoh tauladan kepada rakyat dalam menerapkan politik yang lebih berintegriti.

“Ingatlah, dengan politik berintegriti kita dapat mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti UMNO seterusnya memimpin, membantu rakyat dengan lebih berkesan dan paling penting ialah semua yang kita lakukan ini mendapat restu daripada Allah S.WT. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selaras dengan pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyokong dan menyambut baik gerakan dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggui negara ketika ini.

Pemuda UMNO Johor berpendapat usaha menyebar luas agenda memerangi rasuah ini bukan hanya semata-mata dilaungkan di peringkat pusat, malah perlu disahut dan disebar luas ke peringkat negeri dan seterusnya akar umbi supaya matlamat dan pelaksanaanya berkesan dan mencapai objektifnya.

“Usaha mengekang dan mengelak budaya rasuah daripada menjadi semakin ‘membusuk’ dalam masyarakat dan bangsa di negara ini tidak seharusnya ditolak mentah-mentah kepada SPRM semata-mata, sebaliknya perlu disahut semua termasuk masyarakat itu sendiri.”

Dilaporkan, baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan media tempatan memaklumkan penglibatan penjawat awam dalam pelbagai kes rasuah amat membimbangkan dan isu integriti serta salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

“Satu contoh terdekat impak dan kesan rasuah yang boleh kita ambil iktibar baru-baru ini ialah isu kartel daging haram yang menggemparkan negara.

“Apabila satu pihak atau sistem itu sudah digemari dengan budaya rasuah, akhirnya masyarakat teramai turut sama menerima natijahnya.

“Apakah kita mahu pisang berbuah dua kali? Sanggupkah kita memperjudi dan menggadai maruah demi semata-mata menerima sesuap wang ringgit?” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.