Bagaimana Kita Boleh Mengekang Wabak COVID-19 Ini? Dr Akmal Cadangkan Solusi

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata trend terkini peningkatan kes COVID-19 berada di tahap membimbangkan di mana kebanyakan daripada fasiliti kesihatan milik kerajaan hampir tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu, sesuatu mesti perlu dilakukan untuk mengawal keadaan tersebut dan semua pihak tidak boleh hanya sekadar duduk dan diam melihat angka itu bertambah.

Justeru, Dr Akmal dalam satu catatan di Facebooknya memberikan beberapa cadangan kepada pihak kerajaan agar sama-sama mampu membendung pandemik tersebut:

1) Wajibkan kesemua individu di kawasan merah untuk disaring.

– Ini kerana 40-60% di antara pesakit COVID-19 ini tidak langsung bergejala tetapi mereka boleh menjadi agen penyebar.

– Saya faham mungkin kekangan pihak kerajaan sekarang adalah dari segi kewangan dan juga tenaga kerja. Tetapi ia boleh dilakukan dengan cara:

a) Menggunakan Kit RTK Antigen yang kini sensitiviti adalah sebanyak 93% yang jauh lebih murah dari ujian PCR. Mana-mana individu yang positif baru dilakukan ujian RT PCR.

b) Jika faktor kewangan menjadi kekangan, maka ujian yang dilakukan itu boleh dilakukan secara ‘pool sampling’ iaitu satu kit boleh digunakan oleh seramai 5 orang ataupun satu rumah satu RTK antigen, berbanding seorang satu RTK antigen. Jika RTK ini positif barulah ujian secara individu dapat dilaksanakan. Ini memberikan penjimatan yang amat baik sekali.

c) Kekangan tenaga kerja untuk melaksanakan mass screening.

– Ia boleh dilaksanakan dengan kerjasama klinik-klinik swasta yang berada di dalam zon merah, saya percaya di kala wabak ini semakin meningkat klinik swasta ini mahu untuk membantu, tetapi dengan syarat kerajaan harus membantu dari segi pemberian RTK antigen secara percuma kepada klinik-klinik swasta ini untuk mereka melakukan ujian ini.

– Pejabat Pendaftaran Negara boleh mengeluarkan jumlah penduduk di sesuatu zon merah tersebut dan senarai nama itu boleh diagihkan kepada setiap klinik swasta untuk disaring.

d) Pengesanan kontak rapat secara agresif.

– Kita faham kekangan tenaga kerja pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menjadi faktor utama pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 menjadi lambat, ada di antara kontak rapat yang dihubungi setelah hampir lebih dari seminggu mereka terdedah dan ini menambahkan lagi risiko jangkitan kepada orang ramai.

– Maka sebab itulah saya mencadangkan kerja-kerja seperti pengesanan kontak rapat ini yang boleh dilakukan secara atas talian dan di pejabat sahaja, boleh diserahkan kepada pekerja kerajaan dari kementerian yang lain dari KKM, kerana ada di antara kementerian yang lain bebanan kerja mereka berkurangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan ini perlulah diselaraskan agar tiga juta penjawat awam ini dapat digerakkan bersama dan saya percaya jika jumlah tiga juta ini digerakkan bersama, kerja pengesanan kontak rapat ini akan menjadi lebih cepat dan efisien.

e) Setelah ujian saringan dilakukan, setelah pesakit positif telah diasingkan, setelah kontak rapat pesakit positif dikesan dan disaring, maka yang terakhir adalah total lockdown ataupun PKP yang ketat perlu dilaksanakan untuk jangka masa dua minggu.

Tambah Dr Akmal, semua usaha itu memerlukan kerjasama dari rakyat dan juga pihak kerajaan.

“Kita tidak sanggup untuk melihat seluruh sistem kesihatan dan negara ini tumbang akibat wabak COVID-19 ini,” katanya.

Dr Akmal juga berkata negara seharusnya mencontohi tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang dilakukan oleh Vietnam.

“Tetapi negara jiran kita iaitu negara Vietnam yang mempunyai populasi tiga kali ganda daripada Malaysia hari ini kita melihat jumlah purata kes baru sepanjang tujuh hari yang lepas hanyalah tiga kes sahaja, berbanding malaysia kes purata sepanjang tujuh hari yang lepas adalah 3,359 kes.

“Kita jangan sombong dan harus belajar dari kejayaan negara-negara ini mengawal kes COVID-19 mereka.

“Apa yang mereka telah lakukan bagi saya boleh dilaksanakan di Malaysia tetapi dengan syarat kerjasama dari rakyat dan juga yang paling penting komitmen pihak kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara langkah yang telah diambil oleh negara Vietnam adalah mass screening di kawasan yang berisiko di mana ujian COVID-19 ke atas setiap individu di kawasan yang berisiko perlu dilaksanakan dan tidak ada seorang pun terlepas daripada ujian yang dilakukan.

Begitu juga, selepas mass screening dilakukan, langkah pengasingan dimulakan iaitu mana-mana individu yang positif diasingkan dan individu yang negatif melalui fasa home quarantine yang ketat selama dua minggu dan kesemua kontak individu yang positif dikenal pasti secara pantas dan agresif supaya mereka tidak menyebarkan virus COVID-19.

Sehubungan itu tegasnya, ini masanya tindakan agresif perlu dilakukan dan negara tidak punyai masa lagi.

“Jika negara lain mampu melakukannya, kenapa bukan Malaysia. Jika kita ambil sambil lewa, maka saya percaya kita menuju ke arah masa depan yang gelap. Moga Allah merahmati tanah air kita.

“Saya mohon sahabat-sahabat dapat share cadangan ini agar dapat didengari oleh pihak kerajaan. Dan moga pihak kerajaan dapat mendengar dan mengambil tindakan dari cadangan dari saya yang marhaen ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.