Categories: Berita Utama

Cadangan Pindaan Akta Tabung Haji 1995: Jangan Sesekali Cuba Dipinda Hak Jaminan Pendeposit, Tegas Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Facebook beliau yang menyatakan bahawa satu usaha sedang dijalankan oleh pihaknya dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk menyemak semula ketetapan Jaminan Kerajaan termasuklah kemungkinan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Tegas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO menentang keras sebarang usaha untuk menanggalkan keistimewaan yang ada pada institusi unik umat Islam itu dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri Jaminan Menyeluruh Kerajaan ke atas wang pendeposit Tabung Haji (TH).

“Sesungguhnya, TH adalah institusi yang cukup istimewa dan terlalu bernilai buat umat Islam yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi ummah sejak ditubuhkan pada 1963.

“Justeru, Pemuda UMNO menggesa Menteri Agama tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini akan terus mempertahankan Jaminan Kerajaan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Asyaf dalam kenyataannya turut menghuraikan apakah maksud Jaminan Kerajaan.

“Di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang yang didepositkan oleh para pendeposit ke dalam TH adalah dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan.

“Ini bermakna jika berlaku keadaan TH tidak mampu membayar balik tanggungan wang pendeposit akibat TH menjadi muflis atau kerugian, maka kerajaan akan mengambil alih tanggungan tersebut dan membayar balik setiap sen wang pendeposit,” katanya.

Begitu juga beliau mempersoalkan mengapakah ianya hendak dipinda.

“Keistimewaan TH yang mempunyai ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ini memberikan kelebihan kepada TH berbanding bank-bank komersil dan institusi kewangan yang lain.

“Ini kerana rakyat sudah tentu lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion. Sedangkan jaminan simpanan di bank-bank komersil hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM),” ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan untuk meminda Seksyen 24 Akta 535 itu pernah diusahakan oleh Bank Negara di bawah Gabenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas alasan meratakan padang persaingan (level playing field) dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri waktu itu Datuk Seri Najib Razak.

“Usaha untuk meminda Akta 535 tetap cuba diteruskan di zaman Pakatan Harapan (PH) di bawah Gabenor baharu sehinggalah hari ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Recent Posts

Dunia Seni Negara Kehilangan Sebutir Bintang – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 24 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dunia seni…

40 min lalu ago

PRN: PPBM Jadi Pemecah Undi, Bukan UMNO – Ahmad Maslan

TANGGA BATU, 24 Okt - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan Parti Pribumi…

49 min lalu ago

Nasib Khairul Terbela, UMNO Gombak Tampil Membantu Azmin Pula Lepas Tangan

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Nasib yang menimpa keluarga Khairul Anuar Yaakob bersama isterinya serta…

52 min lalu ago