UMNO Tambah Kekuatan Jentera Bantu Mangsa Banjir, Tubuh Pasukan Khas

KUALA LUMPUR, 7 Jan – UMNO akan menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir termasuk pasca banjir.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang berlangsung malam tadi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.

“Mesyuarat juga memutuskan untuk Skuad Sayang Wanita dan Skuad Sabil Pemuda telah dan akan digerakkan dengan lebih hebat.

“Bagi tujuan menyelaras semua gerak-kerja penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, sebuah ‘Pasukan Khas UMNO Menangani Bencana’ ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata MKT UMNO juga mengambil maklum mengenai pertukaran jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang digalas semula secara tradisinya oleh Setiausaha Agung UMNO.

“Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan Presiden-Presiden Parti Komponen dan akan diabsahkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.