‘Setia, Sedia, Sekata’ Pastikan Puteri UMNO Siap Sedia Bertempur Dalam PRU15

TASEK GELUGOR, 4 Jan – ‘Setia, Sedia, Sekata’ (3S) adalah tiga elemen penting yang digariskan oleh Pergerakan Puteri UMNO memastikan seluruh jentera Puteri berada dalam keadaan bersiap sedia bagi bertempur pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang, Siti Hawa Abu Hassan.

Ujarnya, ini adalah bagi membuktikan kesungguhan Puteri untuk melihat UMNO terus dipandang tinggi, dihormati serta mampu mendominasi kerajaan pada PRU15 nanti.

“Sedari hakikat kepentingan Puteri dalam perjuangan UMNO, maka Pergerakan Puteri harus dan perlu memastikan seluruh jentera Puteri berada dalam keadaan bersiap sedia bagi bertempur pada PRU15 akan datang.

“Tiga elemen ini bagi membuktikan kesungguhan Puteri untuk melihat UMNO ini terus dipandang tinggi, dihormati serta mampu mendominasi kerajaan pada PRU15 nanti,” katanya yang juga Penolong Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tasek Gelugor.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar golongan muda dalam UMNO terus diberi ruang dan peluang khususnya bagi mereka yang mempunyai ketokohan untuk diketengahkan sebagai calon dalam PRU15 nanti.

“Memandang akan kesungguhkan dan komitmen yang ditunjukkan oleh sayap Puteri UMNO bukan sahaja di Tasek Gelugor, malah Puteri UMNO di seluruh Malaysia, maka saya merasakan kepimpinan UMNO yang ada hari ini bersikap terbuka dalam memberi ruang dan peluang kepada golongan muda yang mempunyai ketokohan, ‘winnable candidate’ untuk diketengahkan sebagai calon PRU akan datang bagi memastikan mereka ini dapat menjadi suara orang muda di dalam DewanRakyat (Parlimen) mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) .

“Insya-Allah, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan seluruh ahli perwakilan pada kali ini akan menjadi pemangkin semangat kepada saya dan juga Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Puteri UMNO Malaysia khususnya untuk terus bergerak menyusun atur strategi dan membantu parti bagi menghadapi PRU15 akan datang.”

Terdahulu beliau menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian seluruh Malaysia yang berjaya mengadakan persidangan pada tahun ini.

“Saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh kepimpinan UMNO Bahagian, kepimpinan Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor kepada sayap Puteri bagi kita terus bergerak seiring dalam memastikan agenda parti keramat UMNO ini terus diperkasa dan dimantapkan.

Dilaporkan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri telah dilaksanakan pada 1, 2 dan 3 Januari 2021 (Jumaat, Sabtu dan Ahad) yang pertama kali dibuat dalam norma baharu.

Mesyuarat Bahagian UMNO ini telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).

Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit