Saarani Akrab Jiwai Masyarakat Pelbagai Bangsa, Jadi Harapan Warga Perak

LENGGONG, 17 Dis – Tiada apa-apa yang lebih membanggakan seorang ibu selain melihat kejayaan anaknya, malah ada yang hingga mengalirkan air mata kegembiraan apabila mengetahui kejayaan yang dikecapi anaknya.

Selain perasaan bangga, senyuman yang terukir turut menggambarkan kepuasan tidak terhingga atas apa yang dikecapi hari ini.

Itulah perasaan Aminah Mohd Yusof, 76, ibu kepada Datuk Saarani Mohamad yang berbangga dan terharu apabila anaknya dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14.

“Dia (Saarani) anak yang baik, anak yang baik sungguh, bukan Opah nak puji. Tak tahu la rasa hiba, menangis, seronok ada… macam mana tak tahu. Peluk dia menangis, sungguh-sungguh anak mak tak sangka nak jadi macam ni (Menteri Besar Perak).

“Air mata tak tahan, peluk dia (Saarani) menangis, anak mak tak sangka jadi macam ini (Menteri Besar). Sebagai mak, saya minta jaga negara ini elok-elok, minta dia jaga masyarakat semua,” katanya yang amat terharu dan menzahirkan kesyukuran dalam pertemuan bersama UMNO-Online.

Sementara itu menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Daerah Kecil Lenggong, Ahmad Sufian Arifin, 42, berkata, Menteri Besar ini sebenarnya banyak berjasa kepada masyarakat khususnya di Lenggong.

“Dia pernah bagi kita sumbangan untuk memajukan lagi sektor perikanan dan juga bantuan-bantuan lain dari segi ekonomi penduduk setempat, khususnya nelayan-nelayan yang ada di sini.

“Sumbangan Saarani tidak terhad dari segi bantuan. Dia sebenarnya seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, apa jua permasalahan yang kita utarakan kepada dia (Saarani) sentiasa ada jalan penyelesaiannya. Seingat saya apa yang dia pesan paling utama sekali solat dan taat kepada ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, bekas guru Chang Yow Chiew, 66 turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Perak ini suka membantu masyarakat tidak kira kaum.

“Dia tak kira Melayu, Cina, India, dia membantu penduduk di Lenggong. Semasa rumah kedai terbakar … saya ada minta bantuan dari Saarani. Beliau sanggup menolong, membantu. Jadi… nampak hati dia (Saarani) sungguh baik,” ujarnya.

Dalam hal yang sama, seorang pengusaha bengkel kereta, Ravichandiran A/L Wiramuthu, 50, memaklumkan telah mengenali Saarani sebagai seorang yang berbudi bahasa dan sifatnya sangat baik.

“Saya sudah kenal hampir 30 tahun, orangnya sangat baik, dia berbudi bahasa dan minta tolong apa pun dia tolong… dia cakap ‘mesti tolong’. Jika kita minta bantuan untuk orang sakit, pelajar yang ingin belajar, beliau akan membantu tanpa mengira golongan dan beliau seorang yang mudah berurusan,” katanya lagi.

Berhubung dengan itu, Amaren A/L Ganesen, 30, mekanik di sini turut menjelaskan bahawa Menteri Besar ini sangat mementingkan pendidikan dan selalau membantu rakyatnya.

“Minta apa-apa semasa belajar, dia tolong. Kalau untuk belajar beliau cepat membantu seperti orang miskin, bantuan banjir dan beliau akan segera membantu. Saya sangat gembira apabila Saarani dapat menjawat sebagai Menteri Besar Perak.

“Beliau seorang yang sangat mudah untuk berurusan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan Pengerusi UMNO Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke-14 pada 10 Dis lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79