SPR Akur Proklamasi Darurat Bagi PRK Parlimen Gerik, DUN Bugaya

PUTRAJAYA, 16 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, kata Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu membolehkan suatu ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK untuk Parlimen Gerik dan DUN Bugaya, selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, katanya.

“Sehubungan dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya tidak akan diteruskan dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut,” kata Abdul Ghani dalam kenyataan hari ini.

SPR sebelum ini menetapkan kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 16 Jan depan berikutan kematian kedua-dua penyandang kerusi berkenaan. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan manakala 12 Jan sebagai tarikh mengundi awal.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini, berkata Seri Paduka telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati dengan penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata jemaah menteri pada 4 Dis lalu telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 masih menular di negara ini.

PRK Gerik perlu diadakan berikutan kematian Datuk Hasbullah Osman pada 16 Nov lepas kerana sakit jantung, manakala PRK DUN Bugaya berikutan kematian Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

Pada 18 Nov lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

PRK Batu Sapi perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt akibat jangkitan paru-paru, dan SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 Nov, hari pengundian pada 5 Dis dan pengundian awal pada 1 Dis. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79