UMNO Seboleh Mungkin Mahu Kekalkan Kerajaan Perak, Akan Persembah Nama Calon MB – Zahid
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah mengambil pendekatan bahawa seboleh mungkin kerajaan yang ada di bawah pimpinan menteri besar yang lalu dapat dikekalkan.
Namun begitu katanya, satu pendekatan akan diambil oleh UMNO dan BN bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu tetapi ianya akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dokongannya.
“Untuk itu saya akan mempersembahkan cadangan nama kepada Sultan Perak untuk perkenan Tuanku dan Tuankulah yang akan menentukan secara mutlak kerana ia adalah kuasa Tuanku sepenuhnya siapakah yang akan menjadi menteri besar Perak,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian kepada media di pekarangan istana selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum pendirian parti berhubung kemelut terkini politik negeri itu.
Katanya, sesegera mungkin cadangan nama akan dipersembahkan setelah memuktamadkan dengan beberapa pihak.
“Semua kemungkinan akan ada… tertakluk kepada keputusan muktamad oleh pihak parti.”
Beliau memaklumkan telah menghadiri mesyuarat Perhubungan UMNO Perak malam tadi dan kemudiannya menghadiri pertemuan dengan semua ADUN yang mewakili UMNO.
“Perbincangan dengan parti-parti lain di negeri Perak itu telah diadakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN Perak manakala saya akan mengadakan perbincangan di peringkat pusat.
“Paling penting bajet DUN Perak mesti dibentangkan dan untuk itu saya sangat mengormati pentadbiran Perak terus berjalan terutamanya apabila pembentangan perbahasan dan keputusan bajet terus berjalan… ertinya pentadbiran Negeri Perak ini terus berjalan seperti biasa walaupun ada perubahan pucuk pimpinan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menganggap titah mengadap Baginda adalah keterbukaan Tuanku Sultan Perak
“Ini adalah keterbukaan Tuanku bagi menterjemahkan bahawa keputusan yang telah dibuat oleh DUN Perak untuk menolak undi percaya yang telah dikemukakan sebagai suatu proses demokrasi.”
Kemelut politik negeri ini bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan ADUN terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lepas.
Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UMNO Online