Integriti Dan Prinsip Sebuah Perjuangan – Shahril Hamdan

Seharian di Bera dan Lipis bersama Penerangan UMNO Negeri dan Bahagian memberi kupasan isu-isu semasa berkenaan keputusan-keputusan besar yang bakal dibuat.

Ucapan YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan bahawa bagi UMNO Bera, pendirian “No PKR No DAP” kekal selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Bagi saya, pendirian tegas tersebut bukan hanya terpakai di Bera kerana ia adalah soal dasar parti. Melainkan ada perubahan dasar yang dipersetujui, pendirian itu tetap kekal.

Apa yang berlaku di Perak belum sampai ke penamatnya, dan adalah urusan yang lebih diketahui pimpinan di Perak. Jadi saya mengelak spekulasi tentang perkara yang masih berjalan dan perkara yang saya kurang arif memandangkan ia tidak dibincang di peringkat MKT.

Yang tentu, semua warga UMNO mengharapkan penamat yang harmoni seperti digambarkan dalam kenyataan Dato’ Seri The Ahmad Maslan semalam dimana dua parti lain boleh bersama UMNO dan tiada keperluan penjajaran politik yang lain. Apatah lagi jika ia berlaku dengan mendadak dan merisikokan pertalian dan sokongan yang telah dibina – dikhuatiri kesannya bukan hanya di sesebuah negeri atau kawasan tetapi di seluruh negara.

Integriti dan prinsip dalam perjuangan amat mustahak. Tanpa dua ramuan ini, kawan, lawan, dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang kita cakap.

Kalau sampai suatu waktu orang tak percaya lagi apa kita cakap dan pejuangkan, apa lagi modal naratif yang kita nak bawa? Apa lagi sumber kredibiliti kita dimata pengundi, termasuk ahli kita sendiri apatah lagi pengundi muda atas pagar? Segala tindakan kita mesti mengambilkira soal dua aset politik ini: yakni integriti dan prinsip membawa kepada kebolehpercayaan.

Benar, kuasa politik adalah mustahak. Tetapi tidak sehingga “power at all costs” atau “matlamat menghalalkan semua cara”. Jika kita dengan parti lain ada garis merah yang tidak akan dikompromi, tentunya kita dalam parti dan dengan diri sendiri pun mesti ada garis merah. Barulah benar laungan “UMNO Sebuah Perjuangan” dan bukan sekadar “Sebuah Parti Politik”.

Terima kasih kepada KB Lipis YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad P079, KPen Negeri YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, KPen Bera Zoolihsan Ahmad, KP Bera Khaizulnizam Mohamad Zuldin, KPen Lipis Shahnam Abd Rashid serta Ketua & KPen Pemuda Negeri Farid Nor Fadzli Mohamad Kamal atas jemputan dan penganjuran.

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit