Anggota Pentadbiran Kerajaan BN Setuju Terus Sokong Kerajaan, Sepakat Perkukuh Parti

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Anggota pentadbiran kerajaan daripada parti Barisan Nasional (BN) telah bersetuju agar kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 20 anggota pentadbiran BN hari ini menyatakan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan negatif kepada keadaan ekonomi rakyat dan negara.

“Justeru, negara memerlukan sebuah pentadbiran Kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun.

“Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ini juga adalah selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

“Anggota pentadbiran dari Barisan Nasional (yang merupakan Ahli Dewan Rakyat) mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.”

Sehubungan itu katanya, untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, anggota pentadbiran kerajaan BN ini berpendapat Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.

“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam Kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam Kerajaan.

“Dalam hal ini, suatu mesyuarat yang telah diadakan bersama Pengerusi BN, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memutuskan agar ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri.

“Berdasarkan perkara yang dinyatakan ini, kami percaya rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan bersama oleh, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Pertahanan), Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan), Datuk Seri Saravanan a/l Murugan (Menteri Sumber Manusia), Datuk Dr. Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar Negeri) serta Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Turut sama Datuk Halimah Mohamed Sadique selaku Menteri Perpaduan Negara; Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan; Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said , Timb. Menteri Dalam Negeri I; Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timb. Menteri Pembangunan Luar Bandar I; Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, Timb. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Mohd Shahar Abdullah, Timb. Menteri Kewangan II; Datin Mastura Mohd Yazid, Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas); Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timb. Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I; Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timb. Menteri Komunikasi dan Multimedia; dan Arthur Joseph Kurup, Timb. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) serta Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng selaku Timb. Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi I. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/11/Kenyataan-Media-Anggota-Pentadbiran-Kerajaan-daripada-Parti-Barisan-Nasional-24112020.pdf”]

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.