Pemuda UMNO Kubang Pasu Terus Dekati Rakyat, Rayu Orang Ramai Bantu Adik Danial
JITRA, 16 Nov – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul… Itulah gambaran yang diluahkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan yang berkunjung ke rumah adik Muhamad Danial Mohd Nasri, 8, di Taman Kenanga, di sini.
Dalam kunjungannya bersama rakan-rakan yang lain semalam, beliau cukup tersentuh dengan apa yang ditanggung oleh adik Danial serta keluarga berkenaan.
“Kanak-kanak berusia 8 tahun ini disahkan menghidap kanser otak setelah dua minggu dirujuk di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau yang dulunya aktif, lasak dan riang seperti kanak-kanak seusianya kini terlantar dan kerap berulang-alik ke Hospital Jitra dan Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
“Bapanya, Mohd. Nasri, 30 tahun, bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah kedai kek dan hanya berpendapatan RM1,200 sebulan. Itu pun, kadang-kadang dipotong sehingga beliau hanya memperoleh RM400 atau RM600 sebulan kerana tidak hadir bekerja menguruskan Danial ke hospital,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Semalam beliau bersama rakan-rakan yang mengadakan ziarah ke rumah adik Danial untuk menyelami secara lebih dekat masalah yang dihadapi keluarga berkenaan.
Tambah Hasmuni yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’ dan penderitaan mereka berganda apabila keluarga berkenaan menumpang di rumah ibu Mohd. Nasri yang juga mengidap kanser payudara.
Katanya keluarga ini menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia tidak mencukupi kerana kos itu hanya habis digunakan untuk berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang.
“Saya menyeru orang ramai yang ingin membantu keluarga ini khususnya adik Muhamad Danial, boleh menghubungi bapanya, Mohd. Nasri di talian 019-416 2711.
“Hari ini hari mereka, hari kita tak tahu bila. Jika kita ada kemampuan, bantulah mana yang kita mampu,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas