Bajet 2021: Kebenaran Dan Sasaran – Zahida
BANYAK artikel telah ditulis oleh bijak pandai di kalangan kita tentang Bajet 2021 ini. Tetapi saya akan sentuh beberapa aspek Bajet 2021 ini dari aspek yang lain yang mungkin anda semua berminat untuk mengetahuinya.
1. Para pesara kerajaan tetap diberi bantuan walaupun mereka ini tidak sedikit pun terjejas pendapatan mereka di musim COVID-19 ini. Tak apalah ini mungkin rezeki mereka. Berbanding dengan peniaga pasar malam, pengusaha kantin sekolah, para pekerja yang dibuang kerja, para pemandu teksi dan banyak lagi rakyat yang lebih memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan sekarang ini.
Tetapi persoalannya adakah kerajaan mempunyai lebihan kewangan? Tetapi dengan nada yang sama kerajaan menyatakan ia perlu meminjam sebanyak RM190 bilion untuk menampung bajet ini tahun hadapan.
2. Harus dinyatakan bahawa kerajaan juga mesti prihatin dengan memberi bantuan kewangan kepada rakyat-rakyat yang terjejas tersebut.
3. Terdapat golongan rakyat di dalam kategori bawahan B40 yang begitu terkesan sekarang ini. Mereka menghadapi kesusahan untuk menyediakan walaupun makanan harian. Mereka ini patut diberi bantuan dan pertolongan yang lebih.
Saya syorkan Kementerian terbabit harus membuat penyelidikan sendiri untuk mengesan golongan terbabit. Bantuan kewangan pukal yang diagihkan sekarang adakalanya tersasar.
4. Bajet 2021 ini juga membuat andaian bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 7.5% KDNK. Kita bersyukur jika unjuran ini dapat diperolehi tetapi memandangkan penularan pandemik COVID-19 sekarang ini masih berleluasa dan dijangkakan berpanjangan pada tahun ini, adalah tidak mustahil anjuran perkembangan ekonomi 2021 akan juga tersasar.
Ini akan memyebabkan defisit belanjawan akan menjadi lebih tinggi daripada 6% yang jangkakan.
5. Pendapatan negara pula sudah tentu tersasar disebabkan unjuran bayaran cukai berkurangan dari apa yang dijangkakan. Duit dari tabung Petronas yang menjadi sasaran senang untuk kerajaan perolehi sepanjang tahun telah pun berkurangan disebabkan kejatuhan harga minyak dunia.
Ini akan memudaratkan lagi situasi kewangan negara.
6. Kerajaan mencadangkan pinjaman sebanyak RM190 bilion untuk menampung belanjawan ini. Ini sudah tentu memecah siling 60% KDNK yang telah ditetapkan (setelah dinaikkan daripada 50% sebelumnya).
Di dalam kewangan dunia yang masih tidak menentu, dari sumber manakah kerajaan akan meminjam seterusnya? Kita akan berada di dalam kategori krisis kewangan jika terus meminjam.
7. Sekarang ini kerajaan membelanjakan 13% daripada KDNK nya untuk membayar ‘interest’ (faedah) terhadap pinjamam negara setakat ini. Ianya akan menjadi lebih tinggi dengan pinjaman baru yang terpaksa dibuat.
50% daripada Bajet 2021 adalah untuk belanja pengurusan dan jika 15-20% terpaksa digunakan untuk membayar ‘interest’ terhadap pinjaman, baki yang dapat digunakan untuk pembangunan dan lain-lain akan menjadi lebih kecil.
Kita tidak harus memandang remeh jumlah ‘interest’ yang perlu dibayar ini. Ini adalah salah satu sebab negara Greece menjadi muflis!
8. Saya mencadangkan kepada Ahli-ahli Parlimen kita yang sedang membincang Bajet 2021 sekarang ini untuk menghuraikan masalah di atas untuk memberi rakyat kecerahan untuk masa depan mereka.
Selamat bersidang seterusnya. – UMNO ONLINE
Zahida Zarik Khan
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia