Contohi Semangat Juang Veteran UMNO, Tidak Pernah Luntur – Fadzli

RAUB, 15 Nov – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal kagum dengan semangat perjuangan Veteran UMNO yang tidak pernah padam.

Katanya, semangat yang ada pada mereka amat didambakan dan dapat diresapi agar sebati dengan dirinya.

“Saya juga mahu menjadi kental dan berjati diri seperti mereka. Malam tadi, saya lihat ada yang datang bertongkat. Tetapi mereka tetap juga berusaha untuk hadir.

“Apabila lagu UMNO berkumandang, mereka menyanyi dengan penuh jiwa, sehingga ada yang menitiskan air mata. Kata mereka, sudah begitu lama lagu keramat itu tidak mereka nyanyikan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub itu juga berkata malam tadi, beliau menyantuni veteran UMNO di dalam sebuah majlis di sini.

“Golongan yang cukup saya hormati. Tanpa mereka, tidak mungkin saya kenal UMNO hari ini.

“Saya tidak akan pernah jemu menagih tunjuk ajar, pandangan dan nasihat mereka,” katanya lagi sambil mengucapkan terima kasih kepada pejuang bangsa Veteran UMNO itu.

Ulas Fadzli juga, sejak merdeka, UMNO hanya sinonim dengan kemenangan dan kejayaan namun tanggal 9 Mei 2018 menjadi sejarah hitam buat UMNO apabila parti terbesar orang Melayu itu kalah buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kekalahan yang meletakkan keluarga besar UMNO berada di persimpangan.

“Yang cekal, memilih untuk redha dengan ketentuan Ilahi serta mengakui kekhilafan. Percaya UMNO mampu bangkit dengan semangat dan iltizam baru andai berani berubah.

“Namun, yang lemah dan kurang jati diri, akhirnya tenggelam dalam arus kekecewaan lantas meninggalkan UMNO,” katanya.

Walaupun begitu ujarnya, beliau memilih untuk kekal percaya, bersemangat dan bersetia bersama UMNO.

“Pendirian saya untuk terus memaknai perjuangan parti ini tidak akan berganjak walau seinci.

“Demi mereka dan demi pejuang UMNO yang telah pergi meninggalkan kita, saya berikrar akan pertahankan parti ini sampai bila-bila,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.