Belanjawan 2021: Kerajaan Perlu Berjiwa Besar Bantu Semua Lapisan Rakyat – Tajuddin

KUALA LUMPUR,12 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kerajaan hari ini perlu berjiwa besar untuk membantu semua lapisan masyarakat agar dapat meneruskan kesinambungan hidup dalam berdepan dengan tekanan ekonomi lantaran kesan penularan COVID-19 yang masih berlaku.

Jelasnya, beliau memahami tujuan kerajaan dalam membentangkan belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

“Menteri Kewangan ini adalah seorang yang mendengar rungutan rakyat maka insya-Allah kerajaan akan mempertimbangkan apa-apa perkara yang dibawa demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

“Kalau dilihat secara sambil lalu nampak bajet ini banyak peruntukan kepada peruntukan rakyat, subsidi dan lain-lain tetapi apa yang paling penting ialah untuk menjana pembangunan ekonomi… tak bolehlah buat apa-apa tanpa menjana ekonomi negara kerana penjanaan ini akan dapat menggerakkan rakyat termasuklah peluang-peluang pekerjaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.

Beliau berkata demikian menerusi segmen Bicara Belanjawan 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi laman facebook UMNO-Online malam tadi. Segmen tersebut telah dimoderatorkan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Kata Tajuddin, rakyat perlu ada duit untuk untuk berbelanja di pasaran dan apabila ada perbelanjaan maka akan ada permintaan (demand).

“’Demand’ yang terhasil dari perbelanjaan rakyat ini akan mewujudkan ‘demand push economy’. Permintaan kepada sesuatu produk yang akan menggerakkan sektor itu… apa lagi yang akan dibelanjakan oleh rakyat maka sektor-sektor yang mendapat permintaan itu akan dapat digerakkan.

“Misalnya wang menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibelanjakan oleh rakyat bagi mewujudkan pelbagai permintaan di pasaran yang akan menjana kebangkitan ekonomi dalam sektor-sektor tertentu. Kalau permintaan kepada makanan maka industri ini akan hidup.

“Persoalannya adalah bagaimana duit itu untuk sampai kepada rakyat dan dapat membantu semua lapisan masyarakat, iaitu dari peniaga, nelayan, petani, penternak, pegawai-pegawai kerajaan, pelajar-pelajar dan sebagainya lagi.”

Namun begitu, katanya, tidak cukup dengan duit yang ada dikalangan rakyat hasil pemberian kerajaan dalam bentuk pelbagai itu untuk mewujudkan ‘demand’ bagi tujuan kebangkitan ekonomi.

“Kerajaan kena fikir bagaimana kita nak ‘support’ peniaga-peniaga, peniaga kecil dan sederhana juga peniaga yang memberikan sumbangan besar kepada negara… yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan kemudian menyumbang cukai kepada kerajaan… ini semua akan menggerakkan ekonomi negara…”

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang terpaksa dilaksanakan hampir di seluruh negara sekarang ini.

“Tujuan PKPB untuk keselamatan tapi pergerakan tidak disekat sebaliknya bersyarat kerana keselamatan rakyat perlu dijaga tapi ekonomi juga mesti terus dijana. Hidup mesti diteruskan. Ada SOP yang dilaksanakan dan mesti dipatuhi oleh rakyat.

“Kita faham bahawa orang yang tak ada makanan lebih bahaya … boleh mengamuk, maka keselamatan awam ini dilihat secara keseluruhan.”

Ujarnya, ekonomi negara tidak akan berhenti tapi jumlah kelajuannya sahaja mungkin akan berkurang.

“Kita harap tidak berlaku di luar jangkaan kerana dijangkakan ekonomi kita akan naik 6 peratus pada tahun hadapan.

“Jangkaan unjuran 5.4% KDNK tahun depan juga akan dapat kita capai sekiranya peruntukan bajet yang ada benar-benar bergerak tapi penting juga untuk kerajaan menunjukkan kestabilannya agar peniaga-peniaga yakin untuk berniaga dan menunjukkan komitmennya lantas dapat menarik pelabur-pelabur juga. Inilah pentingnya sebuah kerajaan yang stabil.”

Lantaran itu beliau turut menyentuh berkaitan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang terdiri dari beberapa parti maka maknanya pemimpinnya mesti pandai menjaga hati parti-parti lain supaya tidak nampak ada persaingan politik kerana kita dalam satu kerajaan.

“Sekiranya kita tidak berlaku adil maka bagaimana untuk mencapai kesejahteraan… berlaku adil pada semua. Beri apa yang hak dan jangan ambil yang bukan hak kita. Kita nak utamakan kestabilan dan keharmonian dalam kerajaan untuk rakyat dan negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit