Tradisi BN Bela Rakyat – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menyokong penuh cadangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Bajet 2021) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Katanya, Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang diutarakan oleh Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) itu telah meletakkan dua syarat utama untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Kerajaan meluluskan Pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 One-Off.

“Kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalan hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil lagi, kedua-dua tuntutan ini adalah perkara utama yang diperlukan rakyat Malaysia bukannya bajet yang besar untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Justeru katanya lagi, pada saat ini rakyat semakin mengeluh dan terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan hampir di seluruh negara.

“Rakyat semakin tertekan hari ini… lebih-lebih lagi apabila PKPB dilaksanakan hampir di seluruh negara. Kita perlukan Bajet yang inklusif seperti ini bukannya Belanjawan yang ‘cukup makan’.

“Terima kasih Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyampaikan keluhan rakyat. Semoga tuntutan ini dipenuhi kerajaan PN,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit