Bajet Yang Baik Mesti Realistik, Kata Shabery Cheek

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan belanjawan yang baik mesti realistik.

Katanya, ia bukan berapa banyak yang hendak diberi, tetapi juga berapa banyak yang akan diperolehi.

“Apabila PH (Pakatan Harapan) mengambil alih, mereka batalkan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan memberi cuti cukai tiga bulan. Tanpa GST tanpa SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).

“Berlaku lompang besar hasil negara. Petronas dijarah untuk menutup lompang itu. Rakyat gembira sejenak namun kembali terpegun apabila ekonomi tak serancak yang digambarkan sebelum itu. Banyak pembuangan kerja dan janji tidak tertunai,” tulisnya di Facebook.

Shabery juga mengingatkan agar semua pihak berhati-hati dalam mengharapkan apa yang dianggarkan tahun ini.

“Katanya pertumbuhan akan mencapai hingga 7.5 peratus tahun depan. Hebat. Namun asas pertumbuhan itu perlu diperincikan.

“Berapa banyak pelaburan yang akan datang? Berapa banyak eksport kita dan berapa banyak pendapatan rakyat dan kerajaan yang akan dibelanjakan?” soalnya lagi.

Justeru katanya, pemimpin yang bertanggungjawab dilahirkan oleh rakyat yang bertanggungjawab.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 yang memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion, perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara.

Jumlah tersebut merangkumi RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19, manakala RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit