Belanjawan 2021: Pemuda UMNO Kelantan Kemuka Empat Tuntutan
KOTA BHARU, 4 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan berharap kerajaan akan mengemukakan Belanjawan 2021 yang tuntas dengan mengambil kira masalah kesempitan hidup dan kebajikan rakyat dalam mengharungi hidup seharian dalam tempoh pemulihan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, pihaknya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan belia bekerja di bawah 30-an bagi golongan B40, Bantuan Dana Perniagaan khas untuk anak muda, Skim Dana Kebajikan bagi Mahasiswa dan Mahasiswi dan meluluskan pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kerajaan perlu menimbangkan cadangan kami ini kerana anak muda adalah aset negara untuk mengembalikan semula pembangunan insani dan fizikal untuk mengekalkan Malaysia di dalam landasan kegemilangan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikut merupakan empat tuntutan yang mendesak untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dari Pemuda UMNO Negeri Kelantan:
1. Mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan belia bekerja bawah 30-an dalam golongan B40 memandangkan golongan umur seperti ini yang baru memulakan kehidupan berkeluarga yang mana pendapatan pun masih belum stabil.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu dilibatkan dengan menggunakan data-data setiap syarikat berdaftar bagi menjejak golongan sasar ini.
2. Mewujudkan Bantuan Dana Perniagaan khas untuk anak muda bagi merancakkan ‘GIG Economy’ mereka sendiri. Pendaftaran Syarikat Perniagaan secara Enterprise perlu dibuat bagi mengelakkan ketirisan dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kolaborasi 4 Kementerian Utama iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memastikan kejayaan ini.
3. Mewujudkan Skim Dana Kebajikan bagi Mahasiswa dan Mahasiswi di universiti dan kolej untuk meringankan beban tanggungan yuran belajar dan tempat tinggal. Ini merangkumi permintaan 70% daripada keseluruhan ibubapa pelajar yang berada dalam kategori golongan B40.
Agihan dana boleh dibuat melalui Kementerian Pengajian Tinggi untuk tujuan ini.
4. Meluluskan pengeluaran caruman maksimum RM10,000 KWSP kepada pencarum-pencarum seperti cadangan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini.
Pengeluaran wang caruman ini tentunya memberi kelegaan kepada mereka yang 100% terjejas. Secara tidak langsung, kerajaan juga tidak terbeban dengan pemberian ‘one-off’ yang besar apabila pencarum menggunakan wang mereka sendiri. – UMNO ONLINE