Sikap Prejudis Speaker DUN Selangor Dari Dap Dibidas, Tidak Hormati Identiti Negara

SHAH ALAM, 2 Nov – Muafakat Nasional Selangor hari ini membidas Speaker YB Ng Suee Lim yang menegur serta melarang beberapa wakil rakyat dari pembangkang yang berpakaian lengkap baju Melayu di Sidang DUN Selangor atas alasannya tidak mematuhi kod pemakaian.

Dalam kenyataan bersama Muafakat Nasional Selangor oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Abdul Rahman Bakri dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim, mempersoalkan siapa yang mengurus Negeri Selangor sehingga baju Kebangsaan pun tidak dibenarkan untuk dipakai di Sidang DUN?

“Dalam negara dan negeri yang mempunyai identiti kebangsaan yang dipegang bersama oleh seluruh rakyat berbilang kaum sejak merdeka, sikap begini menjadi tanda tanya kepada rakyat.

“Tidak sepatutnya Baju Kebangsaan atau baju Sut Melayu menjadi sejenis pakaian yang dilarang pemakaiannya di Sidang DUN Selangor. Tidak wajar juga baju Melayu hanya boleh dipakai pada hari Jumaat sahaja. Sudah menjadi lumrah, baju kebangsaan melangkaui sempadan bangsa seperti bahasa Malaysia adalah bahasa Melayu, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat sebagai lambang kebanggaan dan kenegaraan Malaysia.

“Bahkan di Parlimen pun, tiada larangan sedemikian. Asalkan berbaju melayu lengkap atau baju Kebangsaan ianya dibenarkan. Itu simbol yang perlu dijaga oleh semua rakyat terutama pemimpin-pemimpin negara atau negeri yang dipilih oleh rakyat. Perkara asas begini tidak dapat dijaga dan diuruskan, bagaimana hendak diharapkan perkara yang lebih besar.”

Tegas kenyataan terbabit, Speaker Dewan dari Dap sengaja mewujudkan suasana tidak harmoni.

“Isu ini bukan hanya berlegar dalam Dewan Negeri Selangor tetapi kini sudah menjadi tanda tanya besar bagi rakyat Selangor apakah ia benar-benar merupakan ketetapan di Dewan Negeri Selangor? Atau hanya sikap prejudis Speaker daripada Dap yang tidak menjaga sensitiviti rakyat?” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit