Sultan Selangor Seru Ahli Politik Bersatu Sokong Kerajaan Tangani COVID-19

SHAH ALAM, 29 Okt – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru agar akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli politik supaya bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan dalam mengatasi masalah penularan wabak COVID-19.

Sultan Sharafuddin bertitah ahli politik perlu bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

“Rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak COVID-19, (maka) perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara,” titah baginda dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah umat Islam perlu terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah iaitu al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan harian.

Sultan Sharafuddin turut menyeru agar rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sepertimana diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad.

“Nabi Muhammad yang merupakan seorang insan mulia dan agung adalah anugerah Allah kepada umat manusia di muka bumi ini. Baginda merupakan seorang Khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak mulia serta erti kehidupan sebenarnya,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.