Mohd Zaidi Angkat Sumpah ADUN Slim

IPOH, 27 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Mohd Zaidi Aziz mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohd Zaidi, 43, yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim 29 Ogos lalu, Mohd Zaidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 10,945 undi, mengalahkan dua calon bebas iaitu bekas guru S. Santharasekaran, 44, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Mohamad Zahir seterusnya mengucapkan tahniah kepada Mohd Zaidi atas kemenangannya pada PRK DUN Slim dan mengingatkan beliau untuk menggalas amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat sebaiknya.

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.