UMNO Perak Gesa Kerajaan Perkasa Usaha Bantu Rakyat, Bukan Dengan Darurat

IPOH, 25 Okt – UMNO Perak berpandangan bagi usaha tegas untuk melindungi rakyat, kerajaan perlu memperkasakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk usaha untuk mengetatkannya di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.

Menurut Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, di samping itu UMNO Perak juga menyarankan agar bantuan kebajikan, ekonomi dan kesejahteraan mesti terus dilaksanakan.

“Ini termasuk moratorium, Bantuan Prihatin serta lain-lain bantuan kewangan mesti diteruskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“UMNO Perak memahami kesengsaraan, kepayahan dan kegetiran yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik COVID-19. Peningkatan jumlah jangkitan serta angka korban pandemik ini makin meningkat.

“Begitu juga kami merasakan keresahan rakyat yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, mata pencarian dan pendapatan akibat serangan pandemik ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Walaupun begitu tambah Saarani, UMNO Perak berpendapat pengisytiharan darurat bukanlah satu jalan yang baik untuk membendung penularan COVID-19 serta membantu meringankan bebanan yang sedang dipikul oleh rakyat.

“UMNO Perak juga berpendapat darurat akan membawa kesan yang lebih negatif, mengancam kestabilan serta merosakkan ekonomi rakyat dan negara.

“Langkah ini akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan mengancam sistem ekonomi perniagaan yang kita nikmati selama ini.

“Harus diingat, pelaksanaan darurat mencetuskan “force majeure” di mana segala kontrak tidak perlu dipenuhi. Darurat akan dilihat sebagai situasi yang tidak dijangka yang akan menyebabkan serta menghalang sesuatu pihak daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, darurat akan menambahkan keresahan rakyat kerana ia memperlihatkan suasana buruk dan gelap.

Begitu juga katanya, menggantung Parlimen juga akan dilihat sebagai cubaan untuk mengkhianati mandat rakyat dan sistem demokrasi yang kita amalkan sejak Pilihan Raya Umum yang pertama.

“Keadaan ancaman COVID-19 tidak boleh disamakan dengan ancaman pengganas komunis pada tahun 1969 yang memaksa Kerajaan Perikatan ketika itu mengisyhtiharkan darurat.

“Pastinya jika ia dilaksanakan sekarang dengan menggunakan alasan pandemik ini, ia akan mewujudkan persepsi bahawa pemimpin kerajaan berlindung di sebalik COVID-19 untuk mengekalkan kuasa dengan usaha untuk menjadi diktator,” dakwanya lagi. – UMNO ONLINE