COVID-19: Tak Setuju Individu Positif Tak Bergejala Kuarantin Di Rumah – Najib

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak amat tidak bersetuju dengan cadangan untuk pesakit yang positif COVID-19 tidak bergejala untuk kuarantin di rumah sendiri.

Kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, beliau mengetahui pendekatan tersebut digunakan oleh negara-negara barat tetapi negara-negara itu juga yang merekodkan ratusan ribu atau jutaan kes COVID-19.

“Tiada jaminan pesakit positif COVID yang kuarantin di rumah tidak akan menjangkit ahli keluarga mereka yang kemudiannya berpotensi menular COVID ke masyarakat tempatan.

“Kini ada banyak hotel-hotel dan pusat konvensyen yang bisnessnya kurang, lebih elok kerajaan gunakan tempat tersebut untuk kuarantin pesakit COVID.

“Pastikan mereka juga akan dikawal. Yang mampu boleh bayar sendiri kos kuarantin. Yang B40 pula dibiayai kerajaan atau syarikat insurans MySalam,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tegas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, jangan disebabkan mahu menjimatkan duit, kelak negara perlu mengeluarkan kos yang lebih besar untuk membendungnya kerana seorang yang positif COVID-19 mampu menjangkit ribuan individu yang lain.

“Kebenaran untuk kuarantin di rumah pada bulan Julai lalu bagi mereka yang pulang dari luar negara ini yang menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah yang perlukan kos yang tinggi dan masa berbulan-bulan untuk di kawal.

“Walaupun kerajaan telah membetulkan kesilapan setelah saya mendesak beberapa kali masa itu (termasuk dalam parlimen) dengan mengarahkan mereka kuarantin di pusat kuarantin kerajaan, ianya sudah terlambat,” katanya.

Justeru Najib berharap agar kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya itu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.