Tidak Setuju Bubar Parlimen/DUN Sekarang, Antara Empat Ketetapan UMNO Johor
KUALA LUMPUR, 24 Okt – UMNO Johor bersepakat membuat ketetapan tidak bersetuju sekiranya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selagi pandemik COVID-19 masih belum selesai dan ekonomi masih lagi dalam keadaan perlahan.
Perkara demikian ditegaskan oleh Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad setelah mempengerusi mesyuarat badan perhubungan petang tadi di Pejabat UMNO Negeri di Johor Bahru, Johor.
“Kami telah berbincang mengenai pelbagai perkara, termasuk soal menghadapi pilihan raya serta isu-isu semasa.
“Setelah mendengar pelbagai hujah dan pandangan daripada kesemua 26 Ketua Bahagian di Johor, kita telah bersepakat membuat beberapa ketetapan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Berikut merupakan ketetapan yang diputuskan oleh UMNO Johor:
1. UMNO Johor tidak bersetuju sekiranya Dewan Rakyat dan Dewan Negeri dibubarkan, selagi pandemik COVID-19 ini masih belum selesai dan ekonomi masih lagi dalam keadaan perlahan.
2. UMNO Johor meminta penjelasan Kerajaan Persekutuan terhadap penggunaan peruntukan Artikel 150 dalam Perlembagaan Persekutuan.
3. UMNO Johor akan menjalankan kajian terperinci untuk mendapatkan gambaran atau mengukur sokongan sebenar rakyat terhadap UMNO. UMNO Johor juga tidak akan berkompromi di atas sebarang kelemahan prestasi wakil-wakil rakyat.
4. Sebagai sebuah parti, UMNO Johor mendesak Kerajaan Negeri memperuntukan perbelanjaan yang lebih besar untuk kebajikan rakyat. Terutama sekali dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum selesai ini. – UMNO ONLINE