Ekonomi Negara Semakin Meruncing, Gencatan Politik Disokong
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Badan Perhubungan UMNO Wilayah menyambut baik saranan Presiden UMNO untuk melakukan gencatan politik (political ceasefire) dan tidak mengeruhkan lagi situasi politik negara yang sangat tidak menentu.
Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Badan Perhubungan UMNO Wilayah juga mengalu-alukan gesaan Presiden UMNO yang telah meminta supaya semua pemimpin Kerajaan dan juga pemimpin parti politik untuk berusaha keras dalam membantu rakyat Malaysia yang semakin gelisah akibat peningkatan kes positif COVID-19 setiap hari.
“Tekanan ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, ianya juga memberi impak besar kepada semua pihak samada M40, T20, pengusaha kecil dan sederhana bahkan syarikat-syarikat besar termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ujarnya, menginsafi peningkatan kes positif COVID-19 dan keadaan ekonomi negara yang semakin meruncing ini, Badan Perhubungan UMNO Wilayah menyeru agar semua parti politik, sama ada UMNO, PAS mahupun PPBM untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan meringankan beban rakyat pada waktu sukar seperti ini.
“Mudah-mudahan kita semua diberikan petunjuk dalam membawa negara ini keluar daripada pandemik Covid-19 dan seterusnya membangunkan ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Dilaporkan, semalam Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam satu kenyataan telah memaklumkan bahawa UMNO melaksanakan gencatan politik bagi mendukung usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kelembapan ekonomi. – UMNO Online