Benarkah 26 Ahli Parlimen Sudah Hilang Kelayakan?
TULAR dalam media sosial status yang mempertikaikan kelayakan 26 Ahli Parlimen, iaitu MP (Ahli Parlimen) Jelebu, MP Gerik, MP Cameron Highlands, MP Padang Terap, MP Pasir Salak, MP Jerantut, MP Machang, MP Besut, MP Kimanis, MP Jempol, MP Tanjung Karang, MP Bachok, MP Pasir Putih, MP Pasir Mas, MP Dungun, MP Setiu, MP Hulu Rejang, MP Sibuti, MP Tanjung Manis, MP Betong, MP Baram, MP Igan, MP Beaufort, MP Sabak Bernam, MP Tasek Gelugor dan MP Bukit Gantang, untuk kekal sebagai Ahli Parlimen kerana kononnya jawatan Penasihat atau Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang mereka sandang adalah ‘jawatan berpendapatan’ yang kononnya termasuk di dalam cakupan Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan”.
Sungguh menghairankan sekali mengapa sesetengah individu yang berpelajaran atau berpengalaman masih cuba menyebarkan perkara sebegini sedangkan jelas termaktub dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan:
“Dalam Perlembagaan ini, ungkapan ‘Jawatan berpendapatan’ ertinya apa-apa jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam, dan termasuklah –
(a) jawatan mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; dan
(b) jawatan Ketua Audit Negara; dan
(c) jawatan seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai, atau jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) mana-mana Suruhanjaya yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; dan
(d) apa-apa jawatan lain yang tidak dinyatakan dalam Fasal (3) Perkara 132 yang boleh ditetapkan sebagai jawatan berpendapatan melalui Akta Parlimen.”
Bukankah sudah amat jelas di dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini bahawa jawatan Penasihat atau Pengerusi GLC bukanlah ‘jawatan berpendapatan’ kerana ia bukanlah ‘jawatan sepenuh masa’ dan bukanlah termasuk dalam kategori ‘perkhidmatan awam’?
Kalau nak diangkat borong ‘jawatan berpendapatan’ adalah mana-mana jawatan yang memberikan pendapatan maka tidakkah ramai Ahli Parlimen yang akan hilang kelayakan sebab masih menjadi peguam dan sebagainya walau sudah menjadi Ahli Parlimen?
Dan mengapakah isu kehilangan kelayakan Ahli Parlimen yang menjawat jawatan Penasihat atau Pengerusi GLC ini hanya timbul bila pihak yang melantik adalah Kerajaan Perikatan Nasional tetapi tidak timbul bila pihak yang melantik adalah Kerajaan Pakatan Harapan? – UMNO ONLINE