KKM Pertingkat Kapasiti Maksimum Makmal COVID-19

PUTRAJAYA, 15 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mempertingkatkan kapasiti maksimum makmal COVID-19 kepada 54,706 ujian Reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR), setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia adalah antara usaha berterusan untuk memperkukuh kesiapsiagaan pelbagai aspek kesihatan dalam mendepani penularan wabak itu.

Katanya, pencapaian itu adalah hasil kesepaduan kerjasama semua 61 makmal bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, universiti awam (UA) dan swasta, serta makmal swasta.

Malah, beliau berkata, 13 makmal UA bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan makmal swasta kini dalam proses menggembleng sumber ke tahap maksimum.

“Setakat semalam, sebanyak 42 peratus kapasiti makmal negara digunakan.

“Peratusan itu dijangka meningkat bagi menguji lebih banyak sampel, terutama dari Zon Merah, Zon Kuning dan aktiviti saringan serta pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Adham turut memaklumkan bahawa di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kapasiti 2,500 ujian sehari, sudah beroperasi.

“Baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Semenanjung.

“Selain itu, makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR, dan ia dijangka beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) pula digunakan di lapangan bagi membantu pengesanan awal kes positif COVID-19 dengan lebih banyak.

“KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung COVID-19,” katanya. – BHarian

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79