Cukup-Cukuplah Anwar Berdrama, Jangan Heret YDP Agong Dalam Politik Murahan

KUALA LUMPUR, 14 Okt – ‘Cukup-cukuplah Anwar (Anwar Ibrahim) mencipta drama. Janganlah sampai Yang di-Pertuan Agong pun dibabitkan dalam drama politik kegilaan untuk menjadi perdana menteri,” bidas Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Shukor.

Jelas beliau, rakyat sudah jelak dengan semua propaganda politik Anwar yang begitu taksub mahu menjadi perdana menteri apatahlagi sekarang ini negara sedang dilanda gelombang ke tiga pandemik COVID-19.

“Sekarang ini rakyat dihantui ketakutan, risau dan bimbang dengan COVID-19 yang menjadi ‘hantu halimunan’… menyerang jika terleka. Rakyat tidak mahu tahu perebutan kuasa ini, rakyat menyampah.

“Janganlah kerana terlalu taksub mahu menjadi perdana menteri, negara dihuru-harakan sehinggakan Yang di-Pertuan Agong diheret sama dalam permainan politik Anwar. Kalau benar ada jumlah ahli parlimen yang menyokong, kenapa tidak serahkan? Ini semua sudah terbukti sebenarnya Anwar tidak ada nombor,” tegas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana juga sekaligus menepis semua kenyataan yang dibuat oleh Anwar selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Anwar kata Yang di-Pertuan Agong akan memanggil presiden parti-parti politik dan dia kata telah serahkan dokumen sahih sokongan majoriti tetapi menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana, ianya amat berbeza.

“Jadi, siapakah yang akan rakyat percaya? Anwar atau Istana? Tepuk dada tanya selera,” sindir beliau.

Untuk rekod, Istana Negara mengesahkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri yang didakwa memberi sokongan kepadanya sebaliknya Presiden PKR itu hanya mengemukakn jumlah ahli parlimen tanpa menamakan mereka untuk mengukuhkan dakwaan.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit