Bung Dahului Majlis Angkat Sumpah ADUN Sabah

KOTA KINABALU, 9 Okt – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendahului senarai 73 Adun yang menang Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke 16 bulan lalu mengangkat sumpah sebagai ADUN di bangunan DUN Sabah di sini.

Bung yang juga ADUN Lamag mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua DUN Sabah Datuk Kadzim M.Yahya.

Ianya disusuli oleh dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Jeffry Kitingan yang juga ADUN Tambunan, Timbalan Ketua Menteri III yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr.Joachim Gunsalam, menteri menteri kabinet, 18 Pembantu-Pembantu Menteri dan ADUN-ADUN yang lain.

Majlis angkat sumpah yang buat pertama kalinya dipengerusikan Yang di-Pertua DUN baharu Kadzim Yahya, diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB)

Ketua Menteri yang juga Adun Sulaman, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Nor tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana secara sukarela menjalani kurantin kendiri selama dua minggu.

Selain 73 Adun, 6 ADUN lantikan turut mengangkat sumpah di depan Kadzim.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai 41 ADUN termasuk 3 Bebas, yang menyokong kerajaan negeri yang baharu.

Pembangkang iaitu Warisan Plus terdiri daripada Warisan, Dap, PKR dan Upko mempunyai 32 Adun.

Sementara itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya berpuas hati dengan proses perjalanan majlis angkat sumpah tersebut walaupun diadakan secara tertutup kerana mematuhi SOP bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Alhamdulillah majlis berjalan dengan teratur walaupun dilaksanakan dalam keadaan tertutup ” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut berakhir. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit