Malaysia Dijangka Memasuki Gelombang Ketiga COVID-19, Kata KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 3 Okt – Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga COVID-19 selari dengan trend peningkatan jumlah kes di seluruh dunia kebelakangan ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sekarang ini kita lihat pada peringkat permulaan untuk gelombang ketiga, jadi kes-kes telah dikesan bukan hanya negara kita tetapi juga negara-negara lain menghadapi peningkatan kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Ditanya mengenai unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia bergantung kepada tindakan KKM, pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kalau kita bersama dapat mengamalkan tindakan masing-masing iaitu patuhi SOP manakala KKM akan melaksanakan tindakan kesihatan awam, (sebagai contoh) PDRM akan melaksanakan sekatan jalan raya serta ATM mempertingkat kawalan sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan untuk melindungi tempat-tempat seperti pusat jagaan warga emas dan depoh tahanan Imigresen, penjara dan tempat tahanan yang lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata persiapan dan kesiapsiagaan KKM kali ini adalah lebih tinggi berbanding pada peringkat permulaan wabak iaitu dari segi persediaan mobilisasi petugas, jumlah Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan mesin ventilator.

“KKM telah menjalankan tindakan mobilisasi pasukan bantuan kesihatan, sebelum 27 Sept kami telah menghantar petugas-petugas kesihatan KKM ke Sabah di daerah tertentu (Tawau, Lahad Datu dan Semporna).

“Kita akan melihat keperluan, kalau ada kita akan hantar lebih ramai lagi pakar-pakar (pakar pediatrik, pakar bius, pegawai perubatan dan jururawat) kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kluster Tembok di Kedah, beliau berkata jangkitan COVID-19 bagi kluster ini masih terkawal kerana ia adalah dalam kawasan tertutup iaitu di penjara.

“Ia tidak berada dalam komuniti dan Kluster Tembok ini sama seperti kluster di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya.

Kluster Tembok hari ini mencatatkan 128 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 220. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.