Monorel Putrajaya: RFP Dibuka Tiga Bulan Lagi

PUTRAJAYA, 1 Okt – Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuka ‘permohonan cadangan’ bagi projek pembangunan monorel Putrajaya selewat-lewatnya tiga bulan lagi, bagi membolehkan projek itu diteruskan dengan kerjasama pihak swasta.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat beberapa syarikat swasta yang telah menyampaikan hasrat untuk membangunkan projek itu dan ada juga yang telah membuat pembentangan kepada Ketua Setiausaha KWP Datuk Rosida Jaafar.

Bercakap dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini beliau berkata, kos sebenar projek belum ditentukan, kerana antara faktor penentuan kos melibatkan konsep pembangunan monorel dan teknologi lokomotif.

“Ada yang mencadangkan konsep tram. Ada yang cadang guna sistem yang tidak menghasilkan bunyi yang kuat iaitu monorel yang menggunakan tayar getah supaya tidak mengeluarkan bunyi bising.

“Ada pelbagai dan itu akan menentukan kos. Kita buatnya fleksibel, kita biarkan pihak swasta untuk berikan cadangan mereka sendiri. Kita akan buat penilaian kita sebaiknya,” katanya.

Pada April lepas, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengesahkan projek monorel Putrajaya akan disambung semula, selepas tertangguh sejak 2004.

Menurut laporan media, mengikut perancangan asal, monorel berkenaan dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang enam km dengan enam stesen.

Annuar berkata jajaran projek monorel itu telah ditetapkan berdasarkan infrastruktur asas seperti terowong dan jambatan yang telah dibina sebelum projek itu ditangguhkan, pada pertengahan 2004.
Ditanya sama ada jajaran yang ditetapkan turut merangkumi kawasan sekitar Putrajaya seperti Cyberjaya, Bangi dan Kajang, Annuar berkata projek monorel itu hanya melibatkan kawasan dalam kendalian Perbadanan Putrajaya (PPj).

Kementerian Pengangkutan akan bertanggungjawab membuat tindakan susulan bagi menghubungkan Putrajaya dengan Bangi, Kajang, Cyberjaya dan seterusnya, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.