Permuafakatan BN, PN & PBS Kunci Kejayaan GRS
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Bersyukur dengan angin perubahan yang melanda Sabah, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan bahawa kesepakatan pasti akan membawa kejayaan.
Katanya, permuafakatan BN, Perikatan Nasional dan PBS adalah kunci kepada kejayaan.
“Rakyat Sabah telah membuat keputusan dan semoga keputusan tersebut dapat dihormati agar dapat terbentuk sebuah Kerajaan yang lebih stabil.
“Kepada semua pengundi Sabah, mandat yang diberikan tidak akan dipersiakan.
“Kepada mereka yang menang, masa bekerja telah tiba. Jangan lagi bertangguh dan tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya,” kata Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam satu kenyataan.
Mohamad berkata demikian mengulas kejayaan GRS menubuhkan kerajaan negeri Sabah setelah menang pada Pilihan Raya Negeri yang diadakan semalam.
Selain itu, Mohamad juga berharap agar semangat demokrasi terus diraikan kepada mereka yang tewas.
“Insya-Allah apa yang berlaku di Sabah akan menyemarakkan lagi perubahan di seluruh negara.
“Terima kasih kepada semua pengundi, petugas dan jentera parti atas kejayaan manis ini,” tambahnya. – UMNO ONLINE