Janganlah Hipokrit! Rakan Sekutu Warisan Dari Semenanjung Juga… – Yakub

SEPANGGAR, 24 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Senator Datuk Yakub Khan melihat lontaran demi lontaran oleh pihak Warisan yang masih lagi memainkan soal parti Malaya seumpama surat khabar lama dalam usaha menutup kegagalan demi kegagalan mereka yang hari ini menjadi tontonan rakyat.

Sambil menyifatkannya sebagai hipokrit, jika mereka masih memainkan soal tersebut bagaimana pula dengan kehadiran pimpinan rakan-rakan sekutu mereka daripada parti Semenanjung termasuklah pimpinan utama parti seperti daripada PKR dan Juga Dap itu sendiri.

‘’Keseluruhannya dalam suasana dalam pilihan raya kali ini UMNO meletakkan calon baru dan wajah baru yang muda dan sebagainya lagi yang mana rakyat tidak mampu untuk menolak mereka.

“…dan kita lihat dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ini tidak ada isu yang boleh dilakukan oleh pihak lawan berkenaan dengan calon-calon kita melainkan menyebut UMNO parti Malaya…UMNO parti Malaya.

‘’Tetapi perkataan ini sudah berlarutan sudah sekian lama dan isu-isu yang dimainkan parti Malaya adalah isu kitar semula yang mana isu-isu ini adalah surat khabar lama. Saya yakin rakyat Sabah lebih matang… tahu bahawa parti yang memerintah Warisan ini juga tidak memerintah sendirian dan ia juga memerlukan rakan-rakan dari Semenanjung termasuk Dap dan PKR untuk membentuk kerajaan,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Yakub lagi yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Warisan dalam siri pilihan raya negeri kali ini mereka juga menggunakan tenaga-tenaga pemimpin dari Semenanjung PKR, Dap dan sebagainya lagi yang turun ke Sabah dan semalam Datuk Seri Anwar sendiri turut berada di DUN Darau.

‘’Jadi saya ingatkanlah pemimpin daripada pemimpin parti lawan ini tolonglah… ingatlah jangan mainkan isu sentimen untuk mengalih tumpuan rakyat yang mana parti Warisan ini menjadi liabiliti kepada rakyat Sabah yang mana membawa isu PSS (Pas Sementara Sabah) yang mereka masih tidak boleh nafikan, isu Pendatang Tanpa Izin (PTI)… tujuan mereka menggunakan isu Semenanjung untuk menutup isu yang dibangkitkan oleh parti BN khasnya.

‘’Kalau kita lihat kali ini sekali lagi Warisan menabur janji terutama akan menawarkan tanah-tanah kepada rakyat Sabah. Rakyat sebenarnya sudah tahu parti Warisan ini yang menabur janji dan lebih dikenali parti perasmi sahaja kejayaan yang telah dilakar oleh BN.

‘’Contohnya di kawasan Karambunai ini projek-projek yang direncana dan dilaksanakan semasa kerajaan BN apabila setelah sempurna perasminya adalah daripada parti Warisan. Maka saya yakin dan percaya pengundi di kawasan Karambunai dan Sabah keseluruhannya tidak akan termakan lagi dengan janji-janji yang ditaburkan oleh parti Warisan pada pilihan raya negeri kali ini,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.