Andi Prihatin Kebimbangan Masyarakat, Negatif Saringan COVID-19

KALABAKAN, 24 Sept. – Calon Barisan Nasional (BN) N71, Andi Muhammad Suryady Bandi memandang serius berkaitan keprihatinan masyarakat terhadap penularan wabak COVID-19 termasuklah dirinya yang sebelum ini didakwa mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif wabak ini.

Sehubungan itu, dalam kesibukan berkempen pada hari-hari terakhir, Andi telah meluangkan masa untuk melakukan pemeriksaan saringan penyakit berkenaan.

“Alhamdulillah. Tengahari tadi saya telah melakukan saringan di Tawau Specialist Polyclinic dan disahkan negatif.
Semoga semua pihak yang mengambil perhatian akan isu ini akan sama-sama bekerja sama bagi mengekang penularannya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang amat mengambil berat berkaitan isu tersebut dan mengajak semua untuk meningkatkan keselamatan bersama.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang begitu mengambil berat soal kesihatan dan keselamatan. Hal ini sememangnya adalah satu perkara serius yang perlu kita tangani bersama bagi memastikan kawasan kita terputus penularan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, tular berkaitan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan yang telah disahkan positif COVID-19 selepas lawatannya ke Sabah dalam membantu kempen-kempen calon BN termasuklah berkempen bersama Andi.

“Memang benar beliau ada menyertai kempen yang dibuat pada 15 Sept di Kampung Tanjung Batu dan berada di Tawau selama satu hari, namun demikian, berdasarkan kepada kronologi perjalanan kontak individu yang terlibat, Shahril terjangkit COVID-19 bukan di Tawau,” jelasnya.

Selain Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, terdahulu disahkan positif COVID-19 ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, setelah kembali ke ibu negara selepas membantu kempen pilihan raya di Sabah.

Kes COVID-19 di negeri Sabah terus meningkat dengan 134 kes positif baharu dilaporkan semalam. Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu yang kelapan di Sabah, dikenali Kluster Udin yang dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes ke-9894) melibatkan wanita tempatan berumur 72 tahun hasil saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai.

Mengenai perkembangan kluster aktif, empat kluster lain di Sabah merekodkan peningkatan kes baharu iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Laut, dan Kluster Pulau. Kluster Benteng LD merekodkan 105 kes dan menjadikan jumlah kes positif kluster itu kini 729 kes; pertambahan lapan kes masing-masing bagi Kluster Bangau-Bangau (13 kes) dan Kluster Laut (12 kes); serta pertambahan dua kes Kluster Pulau (37 kes), manakala empat kes baharu bagi Kluster Sungai (87 kes). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.