Undilah BN: Andi Calon Muda Anak Tempatan Tersentuh Sokongan Pengundi Di Tempat Kelahirannya

KALABAKAN, 23 Sept. – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang masih berbaki tiga hari dimeriahkan dengan sesi ceramah dan program mesra rakyat sebagaimana calon anak tempatan Barisan Nasional (BN) DUN N71, Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy yang berceramah di tempat kelahiran sendiri.

Katanya, beliau amat tersentuh dengan kehadiran begitu ramai penduduk Kampung Baru Pasir Putih di program Ceramah Umum, malam tadi.

Ujarnya, dengan jumlah yang ramai termasuklah wajah-wajah yang dikenalinya amat memberi makna kepadanya apatah lagi mereka begitu setia duduk dari awal hingga habis acara.

“Saya lahir dan membesar di sini dan ini merupakan satu pengalaman dan memberi makna apabila berceramah untuk meyakinkan mereka yang mengenali saya termasuk kawan-kawan arwah orang tua dan arwah nenek saya untuk agar mengundi saya.

“Ini juga adalah satu kelebihan berbanding calon-calon dari parti lain yang bukan berasal dari sini dan saya fikir juga inilah masa terbaik bagi saya membangunkan tempat saya sendiri jika menang nanti,” katanya.

Jelasnya, kesetiaan penduduk di kampungnya dengan kehadiran yang sangat ramai sememangnya menyuntik semangat baru.

“Malah, pada riak wajah mereka jelas terpancar harapan yang menggunung tinggi agar BN kembali menerajui Kerajaan Negeri Sabah. Mereka benar-benar terseksa ketika pemerintahan Warisan dan kuncu-kuncunya selama 28 bulan ini. Itulah yang mereka luahkan kepada saya ketika bertemu selepas program tadi.”

Katanya, sebelum ini BN sering dipersenda dan dituduh dengan macam-macam perkara namun apabila Warisan berkerajaan, tidak ada hasilnya.

“Dulu-dulu diolok-olok kita ini.., dikata BN tangki biru, tapi rupanya Warisan lagi teruk… sudahlah tangkinya pun tidak nampak apa lagi airnya yang langsung tidak ada.

“Parti-parti yang bertanding juga terbukti tidak ada rekod yang baik, hanya ditubuhkan untuk menumbangkan BN, nak menjatuhkan kerajaan Najib (Perdana Menteri Keenam-Datuk Seri Mohd Najib Razak) katanya maka sebab itu mereka tak tahu mentadbir sehingga sekarang.

“Lihat saja, pengangguran meningkat, ekonomi jatuh, kos sara hidup pun tinggi maka tekadlah kita untuk ubah semua ini dengan mengundi BN.”

Dalam hal yang sama, beliau juga menanamkan keazaman yang tinggi untuk bersama rakyat sekiranya menang kelak.

“Saya bertekad dan berazam, sekiranya mendapat mandat daripada rakyat pada 26 September ini, saya akan berbakti sepenuh hati demi kebaikan serta kesejahteraan warga Tanjung Batu.

“Ayuh warga Tanjung Batu, bersamalah dengan saya dalam perjuangan ini. Tiada yang lebih penting, daripada melihat warga Tanjung Batu mendapat pembelaan yang sewajarnya termasuk dari segi kemudahan asas, bantuan kebajikan dan peluang ekonomi.

“Demi kesejahteraan warga Tanjung Batu, ayuh undi calon nombor satu iaitu saya sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79