Tuduhan Peristiwa Lahad Datu Satu ‘Sandiwara’ Memang Tidak Bertanggungjawab – Hishammuddin

SEPANGGAR, 22 Sept – Dakwaan pemimpin politik bahawa peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013 adalah satu ‘sandiwara’ merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan menggores hati waris wira negara yang telah terkorban.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan tersebut sebagai sangat terdesak demi meraih perhatian dan populariti politik ketika Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Kenyataan beliau tidak bertanggungjawab. Adalah lebih baik dia tanya presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sendiri apa yang berlaku di Semporna.

“Kalau betul ia sandiwara, biar presiden yang sahkannya sendiri. Hendak politik pun ada hadnya. Ini perbuatan terdesak, tiada cara lain. Ini memang agenda politik,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis ramah mesra di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Sepanggar malam ini, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Kota Kinabalu.

Majlis itu turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Karambunai Senator Datuk Yakub Khan dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad.

Hishammuddin, yang menjadi Menteri Dalam Negeri sewaktu insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013 itu, berkata pihaknya akan membuat satu kenyataan termasuk maklumat lengkap mengenai tindakan aspek keselamatan dan pertahanan yang diambil negara.

“Saya akan keluarkan kenyataan. Kita akan senaraikan tindakan yang kita telah buat dari segi atur gerak dan aset.

“Lebih dari 10 perkara besar telah kita buat selepas insiden itu. Kita ingin tanya presiden parti dan ketua menteri, apa yang dibuat selepas 27 bulan untuk memastikan keselamatan Sabah,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada keluarga wira-wira yang telah terkorban.

Calon Segama  daripada  Warisan Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan membuat dakwaan kononnya peristiwa itu adalah satu ‘sandiwara’ semasa berkempen pada pilihan raya negeri semalam.

Tragedi berdarah itu berlaku apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo pada 12 Feb 2013.

Seramai 10 anggota pasukan keselamatan dilaporkan terkorban dalam insiden itu. – Bernama

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.