Tidak Ada Calon Bebas Mesra Perikatan Nasional, Jelas Ahmad Zahid

KOTA BELUD, 19 Sept – Rakyat Sabah khususnya pengundi yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu istiqamah untuk kekal membuat pilihan dengan mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) serta rakan gabungan rakyat Sabah yang lain.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa tidak ada mana-mana calon yang mesra dengan Perikatan Nasional (PN) kerana perkara tersebut telah pun diputuskan sebelum ini bahawa tidak akan ada pertembungan.

“Semua kita tahu bekas rakan kita bertanding bebas… (DUN Tempasuk). Saya ingin mengumumkan bahawa tidak ada calon yang mesra PN, tidak ada calon bebas yang mesra PN kerana di dalam PN kita telah bersetuju supaya tidak ada pertembungan.

“Walaupun ada pertembungan di beberapa tempat tetapi kita yakin di sini (Tempasuk) kita perlu menolak calon-calon Bebas,” katanya.

Ahmad Zahid berucap pada majlis bersama jentera dan pengundi di Tempasuk, di sini, hari ini. Turut serta calon BN DUN Tempasuk, Mohd Arshad Bistari.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan autonomi yang diberikan kepada UMNO dan BN Sabah seharusnya memberi keyakinan kepada pengundi untuk membuat pilihan.

“Dengan adanya autonomi yang diberikan kepada UMNO dan BN Sabah maka pilihan calon-calon itu memperlihatkan bahawa orang Sabah sahaja boleh pilih calon Sabah.

“Begitu juga dalam pelantikan ketua menteri, kita serahkan sepenuhnya kepada Adun-Adun dan anak Sabah untuk membuat pilihan calon ketua menteri jika diberi kepercayaan okeh pengundi.

“Kita minta jentera untuk merapatkan barisan… kepada pengundi kekalkan keyakinan bahawa pada 26 September ini kita undi calon BN. Kita juga mengharapkan dengan kerjasama semua pihak, rakyat akan tukar kerajaan Warisan dengan kerajaan baharu agar nasib rakyat terbela dan rakyat Sabah menentukan sendiri potensi mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut berkempen untuk calon BN DUN Pitas dan juga DUN Bengkoka di Kudat.

Program sehari beliau di Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud sarat dengan kempen termasuklah ziarah kasih selain ransangan semangat kepada jentera serta kempen bersama pengundi untuk sama-sama melakukan perubahan pada 26 September ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.