Hari Malaysia Cerminan Muafakat Seluruh Rakyat – Ahmad Zahid
TARIKH 16 September setiap tahun adalah hari keramat bagi seluruh rakyat kerana ia menandakan lahirnya sebuah negara yang bernama MALAYSIA pada tahun 1963 hasil penggabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sehingga ke hari ini.
Almarhum Tunku Abdul Rahman semasa membaca watikah Pemasyhuran Malaysia di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat negara ini di stadium Merdeka dahulu telah menyatakan antara lainnya:
Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.
Sempena hari Malaysia yang disambut hari ini, marilah sama-sama kita menjaga keselamatan dan kedaulatannya.
Hari Malaysia bukan sekadar slogan jauh sama sekali hanya sekadar sejarah. Ianya dapat dipertahankan selama ini atas dasar PERPADUAN & MUAFAKAT sebagai tiang seri yang sama-sama kita bina dan suburkan sehingga ke hari ini.
Perjuangkan Politik PERPADUAN dan hapuskan Politik Kebencian, Politik Dendam Kesumat dan Politik Asobiah yang merugikan.
Tiada lagi slogan Sabah hanya untuk orang Sabah, Sarawak hanya untuk orang Sarawak, Semenanjung hanya untuk orang Semenanjung, tetapi kita semua adalah rakyat Malaysia yang cintakan PERPADUAN.
Ingatlah kita kepada firman Allah swt di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Selamat Hari Malaysia buat semua rakyat yang cintakan PERPADUAN dan KEAMANAN. Semoga Allah SWT terus memberkati MALAYSIA. – UMNO ONLINE
#UMNOBangkit
#UMNOjagarakyat
#MUAFAKATbawaBERKAT
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Barisan Nasional
Presiden UMNO