Kerajaan Selangor ‘Kong Kali Kong’, Hanya Tahu Menipu Rakyat – Noh Omar

SHAH ALAM, 15 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar merasa cukup kecewa dengan pimpinan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) yang tidak prihatin melihat masalah rakyat khususnya pencemaran air sungai yang menyebabkan lebih 1.2 juta pengguna telah terjejas.

Jelas beliau, sampai bila hendak melihat rakyat Selangor menderita sewajarnya tindakan tegas perlu diambil kerana Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah menzahirkan rasa dukacita akibat pencemaran air tersebut.

“Sampai Sultan Selangor nak kena tegur kerajaan ‘kong kali kong’ negeri Selangor ini samalah dengan kerajaan PH dulu. Kerajaan yang hanya tahu menipu, hancing, ambil tindakan tiada perancangan dan sebabnya ada orang di belakangnya dan takut dengan orang-orang tertentu…inilah masalahnya.

“Jarang-jarang sekali Sultan Selangor memberikan pandangan. Kerajaan negeri mungkin tak berapa pandai menyelesaikan masalah maka Tuanku bersuara. Sebelum ini sebagai contoh papan tanda di negeri Selangor menggunakan nama dalam tulisan Cina. Kita dah bercakap tetapi tiada reaksi sehinggalah Tuanku Selangor memberikan teguran.

“Isu ini bukannya baru tetapi sudah lama. Saya bercakap tiga empat tahun yang dulu. Mengapa tidak diselesaikan,” katanya kepada UMNO Online.

Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang menjelaskan untuk menyelesaikan masalah kilang haram hendaklah dilihat kepada perkara asas.

“Bukannya susah sangat, kilang-kilang yang didirikan dan tengok status tanah. Kalau status tanah masih ‘agriculture’ (pertanian) tapi diberi buat ‘factory’ (kilang) itu sudah terang-terang melanggar peraturan, sebab tidak tukar syarat tanah.

“Bagi saya tak perlu lagi nak bagi hujung tahun. Arahkan semua PBT (pihak berkuasa tempatan) Daerah terus ambil tindakan segera. Mengapa nak tunggu hujung tahun?

“Dah tak perlu tunggu akhir tahun, nak tunggu air rosak dan tercemar lagi? Jadi… di mana ketegasan?” soalnya yang juga bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu tambah Noh lagi, kerajaan negeri Selangor mengamalkan diskriminasi antara peniaga-peniaga gerai dengan pengilang-pengilang haram.

“Kalau gerai-gerai kecil tepi jalan cakap jer notis sebulan mereka boleh roboh. Apa ada hal kilang ini, nak mengamalkan ‘double standard’ (pilih kasih).

“Kalau kerajaan berani roboh gerai-gerai kecil maka rakyat perlu sedar dan bangkit supaya kerajaan PH ini juga perlu kita robohkan pada Pilihan Raya akan datang,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit