Kerajaan Komited Pastikan Petronas Catat Keuntungan Pada Masa Hadapan – Tengku Zafrul

KUALA TERENGGANU, 6 Sept – Kerajaan komited memastikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mampu meraih keuntungan pada masa hadapan, namun ia bergantung pada harga minyak dunia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerugian yang diumumkan Petronas pada Jumaat lepas adalah disebabkan harga minyak yang rendah, bagaimanapun ketika ini ia telah menunjukkan peningkatan.

“Kalau tak silap saya pada Mac dan April lepas, harga minyak jatuh sampai AS$20 setong, sekarang ini sekurang-kurangnya berlaku peningkatan ekonomi global…unjuran harga minyak tahun ini adalah kira-kira AS$40 setong, jadi ia masih lagi dalam jajaran dalam unjuran tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas pengumuman Petronas pada 4 September lepas  bahawa ia mencatatkan kerugian sebanyak RM21 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya.

Selain itu, Petronas merekodkan hasil rendah sebanyak RM34.04 bilion bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020, daripada RM59.12 bilion disebabkan terutamanya impak daripada purata harga direalisasi rendah yang dicatatkan bagi produk utama berikutan kuantiti jualan rendah terutamanya bagi produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) serta gas diproses.

Tengku Zafrul dalam  rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai semalam, terdahulu beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walaupun Petronas tidak mencatat keuntungan, royalti minyak untuk Terengganu akan tetap disalurkan pada bulan ini (September) sepertimana yang telah diputuskan kerajaan, namun jumlahnya masih perlu diperhalusi berdasarkan keadaan semasa.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata kerugian yang dicatatkan Petronas tidak akan menjejaskan pembangunan negara kerana kerajaan masih mempunyai beberapa inisiatif untuk menstabilkan ekonomi dan memperoleh pendapatan.

“Kerajaan masih lagi akan melakukan perbelanjaan terutama untuk pembangunan…oleh sebab itulah defisit fiskal kita akan naik. Defisit negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), di mana ia diunjurkan meningkat antara 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

“Perbelanjaan dilakukan oleh kerajaan khususnya pembangunan, menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membuat perbelanjaan yang penting untuk membantu rakyat dan perniagaan bagi mengaktifkan semula ekonomi,” katanya.

Kerajaan bukan sahaja bergantung kepada sumber daripada Petronas tetapi negara juga mempunyai hasil-hasil lain dan sumbangan Petronas adalah  kurang daripada 20 peratus, katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata melalui pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), rakyat Terengganu telah menikmati manfaatnya yang bernilai RM767 juta manakala menerusi PENJANA pula usahawan mendapat manfaat bernilai RM257 juta.

“Daripada segi memperkukuhkan ekonomi pula, kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek-projek kecil. Kerajaan juga telah membincangkan pelbagai langkah yang boleh diusahakan bagi melonjakkan lagi ekonomi negeri Terengganu, terutamanya dalam persekitaran penularan COVID-19 ketika ini,” katanya.

Antara fokus utama lawatan rasmi delegasi daripada Kementerian Kewangan ke Terengganu juga adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat COVID-19 serta wakil-wakil industri minyak, gas dan petrokimia.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan dan langkah-langkah yang akan disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan sampai kepada kumpulan tersasar dengan telus dan cepat.

“Negeri Terengganu kaya dengan sumber semulajadi, warisan budaya dan anugerah alam sekitar semula jadi. Ia mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan. Potensi inilah yang akan dikaji bersama melalui perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit