PRK Slim: PAS Beri Signal Jelas Untuk Ahli Undi Calon BN – Tuan Ibrahim

SLIM, 28 Ogos – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS telah memberi signal yang jelas kepada semua ahlinya terutama pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang besar.

Ujar beliau, kerana itulah semua kepimpinan PAS turun berkempen di PRK ini agar isyarat yang diberikan itu jelas diterima oleh semua para pengundi.

“Ada usaha untuk kurangkan undi PAS kepada calon BN di PRK ini tapi bila Presiden PAS dan Timbalannya turun berkempen di sini, itu signal bahawa ahli PAS akan beri undi kepada BN. Bila semua jentera (PAS) turun buat kerja, nak cakap apa lagi….

“Sekarang ini kita berada dalam senario rakyat yang telah tunjuk bukti tolak Pakatan Harapan (PH) dan ia dibuktikan di setiap PRK. Kali ini giliran pengundi di Slim, bersama dengan Muafakat Nasional (MN) PAS akan bekerjasama pastikan calon BN menang.

“Kita sudah tunjuk, bermula di PRK Sungai Kandis, kali pertama ceramah PAS dengan UMNO, saya sudah sebut ketika itu, yakinlah, PH menang dengan pembohongan, bukan menang atas fakta, menang atas manipulasi media sosial jadi saya sebut kerajaan yang menang atas fitnah tidak akan boleh bertahan lama dan kini telah terbukti,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam ceramah MN ‘Kita Kekal Muafakat’ bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diadakan di Dewan Semai Bakti, Felda Trolak Selatan malam tadi.

Tambah beliau, kebenaran yang tidak diurus dengan baik akan kalah dengan kebatilan yang diurus dengan baik.

“Maksudnya, manipulasi media sosial yang dimainkan membuatkan kita terperangkap dengan sentimen masing-masing. UMNO ingat tiga penjuru boleh menang, PAS pun sama dan akhirnya kita hilang benda besar.

“Cukup 22 bulan ajar kita. Nenek moyang kita pernah duduk 14 hari di bawah komunis, cukup menderita. Saya tidak merasa penderitaan waktu itu tapi saya rasa penderitaan 22 bulan PH memerintah. Kita rasa itu… jadi kita bersatu di bawah MN sehingga ia jadi begitu kuat.

“Sebab itu kenapa mereka tidak berani letak calon… sebab mereka makin jatuh,” ujar beliau.

Kerana itulah jelas Tuan Ibrahim, UMNO dan PAS harus terus bersatu agar orang Melayu Islam tidak lagi berpecah.

“60 tahun PAS-UMNO bermusuh, baik sekejap, berbalah lama. Ekonomi dikuasai oleh orang lain sebab kita berpecah. Akhirnya Allah jinakkan hati kita, yang menyatukan kita bukan Presiden UMNO atau Presiden PAS… Allah yang lembutkan hati-hati kita, penyatuan kita kerana Allah.

“Penyatuan kita bukan berpaksikan politik semata tapi ia jauh lebih besar dari itu namun di saat UMNO dan PAS menyatukan ummah, muncul pula parti baru yang nak pecahkan orang Melayu.

“Kita korbankan perasaan ahli UMNO, ahli PAS, bukan mudah untuk UMNO menerima PPBM dalam MN sama macam PAS dengan PAN tapi ini pengorbanan yang perlu kita lakukan. Tapi sayang, muncul pula parti baru, memang kita tidak boleh larang tapi ke mana hala tuju? Untuk apa?” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit