PKPDB Di Perlis Dan Kedah Tamat Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar (PKPDB) di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah akan ditamatkan esok, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Ogos, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya keputusan itu diambil selepas tiada kes positif baharu dikesan setelah kesemua penduduk di kawasan terjejas selesai menjalani saringan COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM telah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah bercadang menamatkan PKPDB di empat mukim terjejas oleh Kluster Sivagangga lebih awal berikutan tiada lagi kes positif baharu dicatatkan.

Sementara itu, satu lagi kluster di Kedah iaitu Kluster Tawar yang tercetus akibat satu upacara keagamaan pula mencatatkan 65 kes positif setakat Ahad lepas.

Ismail Sabri berkata walaupun terdapat laporan beberapa kes positif di empat daerah termasuk Baling dan Sik di Kedah melibatkan Kluster Tawar, kerajaan atas nasihat KKM memutuskan PKPDB tidak perlu dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kawalan secara bersasar akan dikenakan. Walaupun tidak tutup seluruh kampung atau daerah seperti dicadangkan, kita lakukan kawalan pergerakan secara bersasar. Sebagai contoh ada murid sekolah terlibat, jadi kita tutup sekolah itu dan buat saringan kepada pelajar sekolah,” katanya.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai hingga 24 Ogos, seramai 16,651 individu kembali ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,689 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara,” katanya, menambah 56 lagi telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Bagi tempoh sama seramai 8,906 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah, katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit