Ulang Tahun Pertama: MN Terus Diperkasa, Bakal Terima Anggota Baharu – Annuar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Setiausaha Agung I Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata sambutan ulang tahun pertama MN pada bulan hadapan bakal menyaksikan penyertaan anggota baharu.

Ciapnya di Twitter, ia juga menunjukkan jalinan strategik yang semakin melebar.

“Sambutan ulang tahun pertamanya Sept ini bakal menyaksikan MN diperkasakan dengan penyertaan anggota baru serta jalinan strategik yang lebih melebar, Insya-Allah,” katanya.

MN akan menyambut ulang tahun pertamanya pada 14 Sept ini.

Seterusnya ulas Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), hasil kerjasama UMNO dan PAS ternyata telah membuahkan hasil demi kesejahteraan rakyat.

“Usaha UMNO dan PAS mempelopori politik wasatiyah melalui pendekatan ta’awun dan ta’ayush telah membawa keberhasilan buat ummah,” katanya.


Untuk rekod, pada 14 Sept tahun lepas, tercatat sejarah yang cukup besar buat rakyat dan negara apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Himpunan Penyatuan Ummah.

Antara lain, kandungan piagam tersebut membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.