Caj Kuarantin Di ILA Dikurangkan Daripada RM150 Kepada RM100 – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan telah bersetuju mengurangkan caj kuarantin yang dikenakan di Institut Latihan Awam (ILA) daripada RM150 kepada RM100 sehari bagi setiap individu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan telah menyemak semula kadar bayaran bagi pusat kuarantin selepas terdapat aduan mengenai individu yang dikuarantin di ILA terpaksa membayar kos yang sama dengan mereka yang ditempatkan di hotel, meskipun fasiliti disediakan kurang.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri telah pun bersetuju untuk beri pengurangan caj kuarantin daripada RM150 kepada RM100 bagi setiap individu. Bagaimanapun, untuk kos hotel (individu di kuarantin di hotel) RM150 adalah kekal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari.

Ismail Sabri berkata kanak-kanak di bawah 12 tahun akan dibenarkan menginap dalam bilik sama dengan ibu bapa mereka.

Bagainamapun, individu yang berkongsi bilik akan dikenakan caj RM50 sehari untuk kos makan dan minum.

Menurutnya, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah yang pulang dari luar negara tanpa penjaga juga akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin namun mereka perlu ditemani seorang penjaga di Malaysia dan caj ke atas penjaga tersebut, ditanggung kerajaan.

Selain itu, bagi individu yang ingin memilih ILA sebagai pusat kuarantin, mereka boleh memohon memandangkan tempat yang disediakan terhad.

“Kita hanya ada lima ILA berbanding 58 hotel (yang dijadikan pusat kuarantin), tempat terhad dan ia bergantung kepada ketersediaan bilik untuk mereka. Bagi mereka yang dikuarantin di hotel, mereka boleh menaik taraf bilik tetapi atas tanggungan sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pengecualian bayaran kos kuarantin akan diberikan kepada warganegara dari keluarga B-40 dan banduan penjara yang baru dibebaskan dari negara jiran serta tiada sumber kewangan.

Katanya, bagi warganegara dari keluarga B-40, permohonan dan semakan pengecualian bayaran kos kuarantin boleh dibuat sebagaimana pelajar dari keluarga B40.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 222 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, 49 individu telah direman manakala lima individu dijamin.

Katanya seramai 168 individu dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan antaranya menjalankan aktiviti dalam pub, kelab malam, melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

Tambah beliau seramai 2,869 pendatang tanpa izin, 620 tekong dan 164 penyeludup telah ditahan menerusi Operasi Benteng dari 1 Mei sehingga semalam.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) juga telah berjaya menahan enam warganegara asing semasa sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.