Kempen Pembudayaan Norma Baharu Perkasa Komuniti Cegah COVID-19 Dilancar

MUAR, 8 Ogos- Bagi memastikan masyarakat terus mengamalkan prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan berkata kempen yang disasarkan kepada seluruh rakyat Malaysia itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti masing-masing dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan membudayakan norma baharu.

“Dengan membawa tema “Bersama Hentikan Wabak COVID-19″, kempen itu akan didukung dan dijayakan oleh semua kementerian, jabatan, agensi di seluruh negara serta rakan strategik sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej secara konsisten, berterusan dan usaha menerap penghayatan serta amalan norma baharu dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu..

Logo dan slogan yang diperkenalkan pada majlis itu adalah hasil ciptaan Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam, juara Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Pembudayaan Norma Baharu anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai 2020 lalu.

Pertandingan itu juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,137 peserta dan 2,150 logo yang diadili.

Ia sekali gus membuktikan kesedaran dan kesungguhan rakyat Malaysia menzahirkan kreativiti dalam usaha membanteras penularan COVID-19 dan menyokong norma baharu.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang mengandungi pelbagai penerangan dan infografik sebagai panduan dan rujukan orang ramai yang kini berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam komuniti bagi mengekang penularan COVID-19.

Buku yang akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini juga boleh didapati dalam bentuk digital melalui imbasan kod QR dan laman sesawang www.infosihat.gov.my.

Pada majlis yang sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut melakukan penyerahan peruntukan bagi pelaksanaan Program Pembudayaan Norma Baharu di peringkat negeri bagi memastikan kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Turut hadir adalah Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali serta para pemimpin peringkat komuniti dan penduduk setempat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.