Jalur Gemilang Kemegahan Negara, Dari Kecil Disemai Semangat Patriotik – Suraya

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob berkata sejak kecil rakyat disemai dengan sikap sayangkan negara.

Kata Exco Kerajaan Negeri Kedah itu, sejak kecil juga semua rakyat telah diasuh agar menyemai sifat nasionalisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang bendera kemegahan rakyat Malaysia.

“Setiap tahun, kita hadir dalam penganjuran majlis seperti ni, kita berdiri tegak menghormati kibaran Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku, penuh bersemangat. Dan kini Kak Su yakin, sikap patriotik itu tebal tersemat di jiwa kita semua.

“Kita mengenang jasa perjuangan orang lama. Nama-nama besar seperti Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan Mat Kilau, tersemat dalam sejarah negara. Malah tokoh yang melaungkan kemerdekaan negara juga berasal dari Kedah, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Suraya yang lebih suka dikenali dengan panggilan Kak Su mengedarkan Jalur Gemilang bukan hanya kepada ketua-ketua jabatan di dalam Daerah Pendang, malah menyeru semua warga Pendang mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera Jalur Gemilang di setiap rumah.

“Kita semarakkan patriotik kepada negara di seluruh daerah Pendang, tanda kita cintakan negara, Insya-Allah,” ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.

Tambahnya juga, walaupun majlis yang dianjurkannya itu kelihatan ‘biasa-biasa’ sahaja namun sebenarnya cukup bermakna dan membawa erti yang mendalam di sudut hati semua rakyat tanpa mengira tempat.- UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.