BN, Rakan Parti Tanding 73 Kerusi PRN Sabah, Rundingan Dijangka Selesai Dua Minggu
KOTA KINABALU, 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) Sabah dan rakan parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
BN Sabah terdiri daripada komponen parti UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya akan mengadakan rundingan bersama rakan-rakan parti berhubung pembahagian kerusi yang bakal ditandingi dalam PRN berkenaan dalam masa terdekat dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
“Hari ini, kita memutuskan UMNO Sabah, BN..kita akan bertanding di 73 kerusi melawan (Parti) Warisan (Sabah). Ini bermakna, UMNO Sabah akan berunding dengan yang lain dalam sehari dua ini dengan rakan-rakan kita yang tidak pro dengan Warisan.
“Ini penting sebab kita ingin memastikan kemenangan dalam pilihan raya (negeri) akan datang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Biro Perhubungan UMNO di ibu pejabat UMNO negeri di sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah berkata setelah rundingan selesai, parti itu akan memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi termasuk mengumumkan senarai penuh calon yang akan diketengahkan pada PRN kali ini.
Katanya, UMNO Sabah kini sedang dalam proses mengenal pasti calon bagi mewakili parti itu dan akan menampil antara 85 hingga 90 peratus calon muka baharu pada PRN kali ini.
Pada PRN ini juga, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah berhasrat untuk bertanding di lebih 32 kerusi DUN berbanding yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Bung Moktar yang turut mengesahkan akan bertanding di DUN Lamag, iaitu satu daripada DUN baharu diwujudkan di Sabah, berkata PRN kali ini, amat luar biasa bagi semua parti.
“Bagaimanapun, apa yang penting, kita (UMNO) harus meyakinkan pengundi dan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar, anak-anak muda (bahawa) kali ini pilihan raya dalam normal baharu, sudah tentu rakyat tunggu tawaran baharu yang boleh ditunaikan”.
“UMNO Sabah akan memberi tawaran baharu (pada PRN ini) bagi menjamin kestabilan, keselamatan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon Ketua Menteri Sabah daripada UMNO, Bung Moktar secara berseloroh berkata: ”ramai calon (Ketua Menteri). Saya boleh (dipilih sebagai Ketua Menteri), timbalan saya boleh (Datuk Jeffry Arifin), Datuk (Abdul) Rahman (Dahlan) boleh,”.
PRN Sabah akan diadakan tempoh 60 hari susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis (30 Julai) selepas mendapat perakuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin. – BERNAMA