Patuhi SOP Sambut Aidiladha – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak mengambil mudah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, apatah lagi di saat petugas barisan hadapan masih berjuang untuk menangani penularan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam perlu sentiasa peka dan mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan, bertatasusila dan memakai pelitup muka sepanjang Aidiladha terutama ketika melaksanakan ibadah korban.

“Untuk ini (ibadah korban) kita mempunyai SOP yang digabungkan dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara justeru berharap orang ramai boleh merujuk dan mematuhinya.

Segala bentuk maklumat berkaitan SOP ini akan disiarkan di laman sesawang kami (mira.gov.my) serta laman sosial Facebook dan Instagram (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) untuk rujukan dan fahaman orang ramai,” katanya.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, menurut pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman.

Dr Zulkifli berkata SOP yang digariskan kerajaan bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 dan umat Islam wajib mematuhi perintah kerajaan selagi mana ia mempunyai tujuan yang baik.

“Statistik kes COVID-19 di seluruh dunia semakin meningkat setiap hari, jadi ia merupakan tanggungjawab setiap individu untuk berusaha mematuhi segala arahan dan nasihat pihak kerajaan demi kebaikan seluruh masyarakat.

“Saya juga telah berinteraksi dengan ramai ulama dari seluruh dunia, dan semuanya sependapat agar masyarakat perlu mematuhi segala arahan kerajaan dalam usaha menjauhi jangkitan wabak COVID-19,” katanya lagi. – BERNAMA