Ketua Menteri Tiada Kuasa Bubar DUN Sabah – Annuar

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Jelas beliau, Shafie hanya mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan institusi itu.

“Datuk Seri Mohd Shafie tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan, dia hanya boleh menasihatkan (TYT) jadi kalau nasihat dia diterima, maka Yang Dipertua Negeri perlu mengeluarkan penyataan secara rasmi, bukan Shafie yang keluarkan kenyataan beritahu DUN Sabah dibubarkan,” ujar beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kampung Selayang Lama hari ini.

Justeru Annuar mengingatkan semua pihak agar tidak mudah percaya dan menerima berita mengenai pembubaran DUN Sabah tanpa melalui saluran yang betul.

“Saya fikir berita-berita yang kita terima sekarang kena sentiasa berhati-hati. Kita akan menunggu pengumuman-pengumuman yang rasmi, bukan berita-berita takut nantinya tak sahih. Dalam keadaan sekarang macam-macam,” ujar beliau lagi.

Annuar juga menasihatkan orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi dan menunggu kenyataan rasmi daripada YDP Sabah berhubung pembubaran yang didakwa Mohd Shafie.

“Setakat yang saya tahu, penyataan rasmi belum dikeluarkan. Jadi kita tunggu penyataan yang rasmi tapi daripada segi perundangan, seorang ketua menteri tidak ada kuasa untuk membubarkan DUN Sabah,” katanya.

Awal hari ini, Mohd Shafie dalam sidang media di Kota Kinabalu mendedahkan telah mendapat surat daripada YDP Sabah untuk membubarkan DUN Sabah.

Ia susulan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman semalam yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bagi membentuk kerajaan negeri baharu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.