Keputusan UMNO Tidak Bersama PN Untuk Muafakat Nasional Lebih Kukuh

ALOR SETAR, 30 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak bersama Perikatan Nasional (PN) adalah mengambil pendirian kekal bersama Muafakat Nasional (MN) apatah lagi PN belum didaftarkan.

Ujar beliau, kenyataan tersebut juga seiring dengan pendirian Perdana Menteri selaku Presiden PPBM untuk turut menyertai gabungan Muafakat Nasional.

“Keputusan ini bukan bermaksa UMNO keluar daripada kerajaan tetapi ia lebih memperkukuhkan MN sebagai satu bumbung besar menyatukan Melayu dan Bumiputera.

“Perubahan baru pengukuhan MN ini akan lebih meyakinkan gabungan bagi menghadapi PRU ke-15 disamping Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah yang secara kebetulan Dewan Negerinya dibubarkan hari ini,”ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Jamil, UMNO Kedah berharap agar MN akan semakin kukuh dan padu dengan penyertaan PPBM ini dan sudah pasti UMNO Kedah turut bersama menyokong penuh usaha yang sangat baik ini.

“Politik negara benar-benar dinamik dengan perubahan yang amat pantas dan sukar ditelah perubahannya. Sejak Mac 2020 lahirnya Kerajaan PN dengan gabungan parti-parti Melayu dan Bumiputera serta gabungan Barisan Nasional (BN) termasuk parti-parti Sabah jua Sarawak.

“Kekuatan PN ampuh dan mapan melalui PRK Chini sebagai bukti ujian di medan pilihanraya yang menjadi ukuran kejayaan sesebuah parti politik. Sudah pasti penyertaan PPBM dalam MN telah dipertimbangkan sebaik mungkin demi kepentingan Negara juga rakyat.

“Maka janganlah ada pihak yang cuba merosakkan kerjasama ini,”ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit