Selamat Kembali Utusan Malaysia, Momen Paling Membahagiakan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan selamat kembali kepada akhbar Utusan Malaysia yang dianggap momen paling membahagiakan dan dengan kemunculan kali ini ianya membawa bersama ideal pencerahan yang sangat diperlukan oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau Yusuf Ishak dan Rahim Kajai mengasaskan Utusan Melayu untuk menjadi suara yang bebas serta berani dalam mewakili nurani dan pemikiran bangsa Melayu dan ianya tidak pernah diasaskan untuk menjadi jurucakap mana-mana parti politik.

Justeru, katanya Utusan Malaysia dengan kebangkitan semulanya, mesti kembali kepada ideal asal penubuhannya, iaitu kewartawanan berwibawa dan hanya itu jalan terbaik untuk masa depan untuknya.

“Ia mesti menjadi jurucakap bangsa Melayu dan bukan jurucakap mana-mana pergerakan politik. Perjuangkan kemaslahatan sebenar bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, tanpa berpihak. Beroperasilah  dengan model dan pemikiran sezaman dan jangan lagi menjadi institusi feudal yang pegun dengan segala perubahan deras di sekeliling.

“Hanya menjadi pelapor kepada peristiwa dan berita tidak mencukupi. Tugas itu telah diambil alih oleh media sosial. Utusan mesti menjadi tonggak kepada pengukuhan demokrasi dengan melakukan fungsi semak dan imbang dengan lebih radikal dan konstruktif. Ia mesti melaporkan kebenaran walau apa pun harganya. Dan ia mesti menjadi pencetus kepada pemikiran baru, analisis yang jitu dan sahih, serta pencerahan kepada pelbagai krisis nasional dan antarabangsa,” katanya menerusi catatan di facebook.

Namun kata Mohamad lagi tanggungjawab Utusan membangun tanah air ini bukan sekadar mejadi jurucakap orang Melayu malah Utusan mesti mengimbangi peranannya dalam kemajmukan Malaysia, lalu jadilah suara untuk semua dan bukan sekadar bangsa Melayu.

Katanya lagi kepada rakyat Malaysia pelbagai bangsa, bacalah Utusan Malaysia untuk memahami pemikiran bangsa Melayu dan bagaimana ia mentafsirkan sesuatu isu dari perpektif berbangsa dan bernegara, selagi anda tidak memahami pemikiran bangsa Melayu, selagi itu anda akan terus  terbelenggu dengan pemikiran sempit tentang kemajmukan Malaysia.

“Semua kita mesti mengambil tanggungjawab untuk mendukung Utusan Malaysia menjadi akhbar yang moden, bebas dan bermutu. Kebebasan akhbar adalah sangat penting untuk demokrasi Malaysia menjadi matang dan berwibawa. Tanpa akhbar yang bebas, Malaysia tidak mungkin akan menjadi sebuah masyarakat yang maju.

“Kita mengimpikan ‘Washington Post’ atau ‘New York Times’ ala Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi jurucakap kepada rakyat Amerika, tetapi suara masyarakat global yang sangat dihormati. Kepada semua pekerja Utusan Malaysia dan pengurusan tertingginya, anda semua hanya ada satu pilihan. Iaitu melakukan kerja kewartawanan yang tulen, benar, ikhlas dan meyakinkan. Jika anda gagal melakukannya, maka Utusan Malaysia tidak akan menjadi kebangkitan baru yang berjaya. Maka lakukanlah tugas kewartawanan yang sebenar-benarnya,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit